Awan Cumulonimbus punca ribut petir Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Awan Cumulonimbus punca ribut petir Pulau Pinang

Bumbung zink stadium dan astaka makanan tercabut gara-gara angin kencang yang menghempap beberapa kenderaan yang diletakkan di hadapan Flat Seri Delima Mini Stadium, Sungai Ara., Pulau Pinang semalam. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kejadian angin kencang yang berlaku di Pulau Pinang semalam berpunca daripada awan Cumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil. 

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan itu boleh berlangsung pada sebelah petang sepanjang minggu ini dan pihaknya akan sentiasa memantau dan mengemas kini amaran cuaca dari semasa ke semasa. 

“Stesen Meteorologi Butterworth telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 19.4 milimeter (mm) pada pukul 6 petang semalam. 

“Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Prai pula merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4 mm juga pada waktu sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Selain itu kenyataan itu berkata, Stesen Meteorologi Bayan Lepas telah merekodkan jumlah hujan sebanyak 4.8 mm juga pukul 6 petang. 

Semalam, hujan lebat dan ribut di beberapa kawasan di Pulau Pinang menyebabkan berlaku kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung terbang. 

Kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar pukul 5 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. 

Dalam pada itu,  Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kadar kelajuan angin yang direkodkan sewaktu kejadian ribut semalam adalah sekitar 68 kilometer sejam. 

“Terdapat 25 lokasi di Pulau Pinang yang dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang dan di dua lokasi terdapat struktur bumbung diterbangkan angin. 

“Pasukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengalihkan pokok-pokok tumbang ini semalam dan hari ini kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dijangka diselesaikan,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. P. Rajendran berkata, pasukan MBPP telah menyelesaikan kerja-kerja pengalihan pokok tumbang pukul 9.30 malam semalam iaitu kira-kira empat jam selepas kejadian ribut berlaku. 

“Bagi kerja-kerja pembersihan struktur bumbung yang tercabut di dua lokasi, MBPP selesai melakukannya pada pukul 12.30 malam tadi dan pihak kami sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan bencana,” katanya. 

sagin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN