TEHERAN: Pihak berkuasa Iran menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai di Teheran untuk meraikan pasangan yang sanggup mengorbankan nyawa mereka mempertahankan negara dalam perang menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Majlis yang berlangsung lewat malam Isnin itu melibatkan ratusan pasangan di beberapa dataran utama ibu negara, termasuk lebih 110 pasangan di Dataran Imam Hossein di tengah Teheran, menurut laporan media Iran.
Acara berkenaan disiarkan di televisyen kerajaan dalam usaha meningkatkan semangat rakyat ketika perang selepas Presiden AS, Donald Trump berulang kali mengancam tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran meskipun gencatan senjata rapuh menghentikan pertempuran yang bermula pada 28 Februari lalu.
Menurut media Iran, pasangan terbabit menyertai skim tajaan kerajaan yang dikenali sebagai ‘pengorbanan diri’ atau janfada dalam bahasa Parsi, di mana peserta berikrar mempertaruhkan nyawa mereka dalam perang, termasuk membentuk rantaian manusia di luar stesen janakuasa.
Pihak berkuasa Iran mendakwa jutaan rakyat, termasuk tokoh tertinggi seperti Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf dan Presiden, Masoud Pezeshkian menyatakan sokongan terhadap skim itu.
Imej AFP menunjukkan pasangan pengantin tiba di Dataran Imam Hossein menaiki jip tentera yang dilengkapi mesingan sebelum dinikahkan di atas pentas oleh seorang ulama.
Pentas berkenaan dihiasi belon serta imej besar pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, yang masih belum muncul di khalayak ramai sejak dilantik menggantikan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei yang terbunuh pada hari pertama perang.
“Memang negara sedang berperang, tetapi golongan muda juga berhak berkahwin,” kata seorang wanita muda berpakaian pengantin Islam berwarna putih yang identitinya tidak didedahkan dalam rakaman disiarkan agensi berita Mehr.
Imej turut menunjukkan orang ramai memegang bunga ros sambil menyaksikan majlis tersebut.
Sejak perang bermula, pihak berkuasa Iran hampir setiap hari menganjurkan perhimpunan besar menyokong kerajaan bagi mempamer mobilisasi rakyat sepanjang konflik berlangsung.-AFP










