Sekatan Israel halang rakyat Gaza tunai haji, ibadah korban

Sekatan Israel halang rakyat Gaza tunai haji, ibadah korban

BEBERAPA orang berjalan dekat runtuhan bangunan di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Penduduk Gaza sekali lagi terpaksa menyambut Aidiladha dalam suasana penuh duka apabila sekatan sempadan dan perang berterusan menyebabkan ribuan rakyat Palestin gagal menunaikan ibadah haji serta tidak dapat melaksanakan ibadah korban untuk tahun ketiga berturut-turut.

Sebelum perang Israel-Hamas meletus pada 2023, sekurang-kurangnya 3,000 penduduk Gaza menunaikan haji setiap tahun. Namun, sekatan perjalanan dan penutupan lintasan sempadan Rafah ke Mesir menyebabkan impian itu terus terkubur.

Di sebuah khemah di Khan Younis, Najia Abu Lehia, 64, berkata beliau dan arwah suaminya sudah terpilih untuk menunaikan haji sebelum perang tercetus.

“Kami sudah mendaftar dan nama kami terpilih untuk haji sebelum perang. Kemudian perang berlaku dan semuanya menjadi penghalang,” katanya.

Suaminya meninggal dunia setahun lalu tanpa sempat menunaikan haji bersama.

“Saya bimbang akan meninggal dunia juga dalam keadaan masih menyimpan hasrat untuk menunaikan haji,” katanya sambil menonton rakaman jemaah haji di Makkah menerusi telefon bimbitnya.

Di bawah gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS), Israel pada Februari lalu membenarkan pembukaan semula sebahagian lintasan Rafah, namun hanya beberapa ratus individu dibenarkan keluar setiap minggu, kebanyakannya pesakit dan pengiring.

“Lintasan sempadan masih ditutup. Mengapa perkara ini berlaku kepada jemaah haji? Mereka hanya mahu menunaikan kewajiban agama,” katanya lagi.

COGAT, agensi tentera Israel yang mengawasi akses ke Gaza, berkata perjanjian Rafah hanya membenarkan perjalanan bagi kes kemanusiaan dengan senarai pengembara ditentukan pihak berkuasa Mesir dan diluluskan keselamatan Israel.

Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan hanya 5,304 individu keluar masuk Gaza sejak Februari lalu, jauh lebih rendah daripada jumlah yang dijangkakan.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertanian Gaza berkata penduduk wilayah itu juga akan menyambut Aidiladha tanpa haiwan korban buat kali
ketiga berturut-turut susulan sekatan Israel dan kemusnahan sektor penternakan akibat perang.

Kementerian itu berkata, kempen ketenteraan Israel sejak Oktober 2023 menyebabkan ‘kemusnahan sistematik sektor ternakan’, apabila ladang, kandang haiwan, kemudahan veterinar dan gudang makanan ternakan menjadi sasaran serangan.

Sebelum perang, Gaza mengimport antara 10,000 hingga 20,000 anak lembu serta 30,000 hingga 40,000 ekor kambing biri-biri setiap tahun sempena musim Aidiladha.

COGAT pula berkata, pihaknya memudahkan import daging, ayam, telur dan produk tenusu ke Gaza, dengan hampir 8,000 tan bekalan dihantar sepanjang bulan lalu, namun tiada haiwan ternakan dibawa masuk.

Hamas mendakwa penghantaran bantuan setakat Mei ini hanya mencapai kira-kira satu perempat daripada jumlah yang dijangkakan, meskipun pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menggesa akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan dan barangan keperluan.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN