KOTA KINABALU: “Kadang kala ahli politik menjadi orang yang sangat lucu kerana mereka bercakap tentang perkara yang tidak dijangka,”.
Demikian pandangan Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai kritikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap Presiden Bersatu mengenai situasi yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ahmad Zahid melemparkan dakwaan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyddin Yassin cuba membunuh BN secara halus menerusi muslihat politik pada PRN Sabah.
Justeru, beliau mengingatkan UMNO Sabah agar jangan membiarkan ular tersebut mematuk tempat yang sama, ular itu sepatutnya dibunuh sebelum ia patuk mereka sekali lagi.
Presiden UMNO itu berkata, manipulasi politik terhadap BN semasa PRN Sabah sangat ketara maka, UMNO Sabah perlu belajar daripada pengalaman lampau dan memperbaiki kesilapan berkenaan.
Masidi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan itu berkata, ahli politik bebas untuk bercakap apa sahaja yang mereka mahu kerana apa juga yang diperkatakan pasti akan dinilai.
Katanya, beliau tidak pasti sekiranya apa yang diperkatakan Ahmad Zahid itu mempunyai niat tertentu kerana PRN Johor semakin hampir.
“Saya tidak pasti sebab kadang-kadang ahli politik sangat lucu. Mereka bercakap tentang perkara yang kita tidak jangka mereka akan cakap,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengenai gambar tular perjumpaan bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony bersama Pengerusi Perhubungan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Masidi menyatakan mereka sekadar makan bersama.
Katanya, sama ada Peter ada menyatakan hasrat untuk membawa parti baharunya menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), biarlah keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Peter.- UTUSAN











