Ahli Parlimen tak perlu berada dalam DUN - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen tak perlu berada dalam DUN

undi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan ahli Parlimen mencuba nasib untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilihat seolah-olah menunjukkan politik tanah air hanya dikawal pihak tertentu di samping menyekat peluang dan ruang kepada generasi muda menjadi pemimpin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, malah sikap berkenaan menyebabkan negara akan gagal melahirkan pemimpin pelapis masa depan apabila golongan politik hanya membabitkan muka sama.

Justeru katanya, meskipun tiada halangan ahli Parlimen bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya mereka wajar memberi laluan kepada orang lain untuk bergiat aktif dalam politik dan bukannya menyekat peluang serta ruang.

“Walaupun ahli Parlimen itu dikatakan popular dan mampu meraih undi, beliau sepatutnya sedar dan terbuka dalam memberikan laluan kepada orang muda khususnya menjadi pemimpin.

“Jika orang sama sahaja menjadi ahli Parlimen di samping bertanding ADUN, maka kita lihat politik dikawal orang tertentu dan akhirnya gagal melahirkan pemimpin masa depan negara,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa ahli Parlimen dan Senator dilihat mengintai peluang bertanding di peringkat DUN bagi melayakkan mereka menjadi ADUN.

Misalnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beberapa Ahli Parlimen dikatakan cuba mengintai nasib untuk bertanding pilihan raya itu seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Malah ketika PRN Melaka, Datuk Lim Ban Hong yang merupakan Ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bertanding di kerusi DUN Klebang dan menang di kawasan tersebut.

Pada waktu ini, terdapat 22 ahli Parlimen dan seorang ahli Dewan Negara yang juga seorang ADUN dan melibatkan semua parti.

Mengulas lanjut keperluan mewujudkan undang-undang menyekat ahli Parlimen bertanding DUN, Noor Nirwandy menjelaskan perkara itu sebenarnya tidak harus berlaku sekiranya seseorang ahli Parlimen terbuka dan memahami landskap politik negara yang sangat memerlukan pemimpin pelapis.

“Memang tiada undang-undang menghalang mana-mana ahli Parlimen atau ahli Dewan Negara bertanding DUN, tetapi mereka kena faham jika orang sama menjawat dua jawatan.

“Sekiranya mahu rakyat celik politik, seorang pemimpin yang patut memulakan ruang dan peluang kepada orang bawahan menjadi pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, seseorang wakil rakyat wajar membuat pertimbangan sama ada tindakannya bertanding DUN mampu memberi nilai tambah kepada negara.

Malah katanya, mereka juga harus berfikir seandainya penglibatan di peringkat DUN hanya sekadar syok sendiri atau memiliki kekuatan sebenar sebelum bertanding.

“Mengapa mereka tidak memberikan laluan kepada orang lain kerana kononnya dikatakan ingin memberikan peluang kepada semua?

“Adakah mereka benar-benar mempunyai sokongan di sesuatu kawasan atau hanya andaian yang tidak matang? Demikian persoalan perlu dijawab sekiranya mereka (ahli Parlimen) untuk bertanding DUN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN