830,308 kemalangan, 9,609 maut dalam tempoh dua tahun

830,308 kemalangan, 9,609 maut dalam tempoh dua tahun

MAT KASIM KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 830,308 kemalangan dilaporkan sejak 2020 sehingga Januari lalu membabitkan 9,609 kematian di seluruh negara yang disifatkan masih tinggi biarpun pelbagai langkah penguatkuasaan diambil pihak berkuasa bagi mengurangkan nahas jalan raya.

Memberitahu Mingguan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim berkata, jumlah kemalangan paling tinggi direkodkan adalah pada 2020 dengan 418,237 kes diikuti 370,286 kes (2021) dan 41,785 (Januari lalu).

Kata beliau, sebanyak 4,297 kemalangan maut dilaporkan berlaku pada 2020 dengan melibatkan 4,643 kematian diikuti tahun lalu sebanyak 4,247 kes dengan 4,538 kematian.

Jelas beliau, bagi awal tahun ini pula, sebanyak 412 kemalangan maut berlaku dengan 437 kematian di seluruh negara.

“Berdasarkan data ini sekali gus menunjukkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini masih tinggi dan kajian kita mendapati ia berpunca daripada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

“Sikap pengguna yang cuai adalah faktor utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini berada di tahap yang membimbangkan selain peningkatan jumlah kenderaan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut, kata Mat Kassim, kemalangan paling tinggi berlaku adalah melibatkan pemandu kereta apabila sebanyak 951,147 kes direkodkan diikuti motosikal (219,690 kes), kenderaan pacuan empat roda (98,049 kes), lori (91,668 kes) dan van (44,953 kes).

“Sebanyak 61,425 kemalangan adalah melibatkan lain-lain kenderaan diikuti sebanyak 6,043 kes merupakan bas selain basikal (3,405 kes) dan teksi (2,943 kes).

“Senario ini jelas menunjukkan peningkatan aliran semasa lebih-lebih lagi kebenaran bergerak ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan memberi impak dalam peningkatan kadar kemalangan jalan raya berdasarkan trend semasa.

“Justeru, JSPT mencadangkan agar kawalan kendiri yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya perlu diterapkan memandangkan kemalangan dikesan berlaku berpunca kenderaan dipandu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan,” ujarnya.

Untuk rekod, hasrat satu keluarga yang mahu menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat daripadanya termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan mereka dirempuh dengan pacuan empat roda dalam kejadian 30 Januari lalu.

Kemalangan berlaku 2.30 petang itu mengorbankan Raihan Mohamad, 43, seorang suri rumah dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×