Wang palsu disasar kepada peniaga kecil

Wang palsu disasar kepada peniaga kecil

MOHD. KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Awas urus niaga menggunakan wang palsu. Walaupun jenayah itu tidak membimbangkan namun aktiviti mencetak sendiri wang palsu masih berlaku.

Disebabkan kegiatan itu masih ada, semua premis perniagaan bertaraf pasar raya ke atas menyediakan mesin cahaya ultraungu UV di kaunter-kaunter pembayaran untuk membendung tertipu dengan wang kertas palsu yang biasanya menggunakan RM50 dan RM100.

Sasaran penjenayah membabitkan peniaga-peniaga kecil di tepi jalan atau di kawasan pedalaman yang tiada mesin UV untuk menyemak ketulenan wang.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, lebih 80 peratus kes yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berkaitan penemuan wang palsu di kaunter-kaunter bank.

Menurut beliau, wang palsu berkenaan dipercayai dicetak sendiri oleh individu yang terlibat bagi melakukan sesuatu pembayaran sekali gus menyukarkan pihak berkuasa mengesan penjenayah berkenaan.

“Siasatan mendapati, penggunaan wang palsu pada masa kini lebih tertumpu kepada kegiatan individu terutama mereka yang terdesak untuk membeli dadah dan penipuan pembelian telefon bimbit melalui laman sosial.

“Mereka ini akan menggunakan wang-wang palsu yang dicetak sendiri sebelum membuat sesuatu pembayaran. Jadi, boleh disimpulkan jenayah ini dilakukan oleh individu yang mempunyai tabiat kecenderungan untuk melakukan jenayah,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, kata Mohd. Kamarudin, trend penggunaan wang palsu di negara ini tidak menunjukkan kebimbangan malah aktiviti berkenaan mencatatkan penurunan sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, lazimnya penggunaan wang palsu banyak yang dikesan untuk menampung perbelanjaan harian telah mendorong penjenayah mengambil kesempatan mencetak wang palsu sebelum menggunakannya dalam urusan pembelian tanpa disedari peniaga atau pekerja kedai.

“Peniaga hanya menyedari wang itu palsu selepas tidak dapat memasukkan hasil perniagaan mereka ke dalam mesin deposit wang di bank,” kata beliau.

Jelas beliau, perkara itu dapat dilihat apabila berdasarkan statistik yang direkodkan JSJK pada tahun lalu iaitu 665 kes dilaporkan di seluruh negara pada tahun lalu.

“Jumlah itu sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 65 peratus berbanding 2020 apabila 1,400 kes direkodkan tahun berkenaan,” ujarnya.

Bagi mengatasi kegiatan ini, tambah Mohd. Kamarudin, tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati terlibat dalam sebarang kegiatan berkaitan wang palsu.

Kata beliau, tindakan tegas itu boleh diambil sama ada mencetak, memiliki ataupun menggunakan wang palsu yang mana ketiga-tiga perlakuan ini adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

“Orang ramai yang didapati terlibat dalam kegiatan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 489A Kanun Keseksaan kerana kesalahan memalsukan wang.

“Selain, tindakan juga boleh diambil mengikut seksyen 489B Kanun Keseksaan menggunakan wang palsu dan Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana menyimpan wang palsu,” katanya.

Utusan Malaysia pada 13 Januari lalu melaporkan sebanyak 58 kes diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penipuan penggunaan wang palsu di Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu.

Kebanyakan laporan diterima PDRM adalah daripada pihak bank dan orang awam terdiri peniaga yang melibatkan penggunaan wang palsu dengan nilai RM50 dan RM100.

Lazimnya kes dilaporkan oleh orang awam dan banyak juga daripada pihak bank selepas terdapat pelanggan mereka yang membuat aduan tidak dapat memasukkan wang tersebut ke dalam mesin deposit wang di bank tersebut.

JACOB GEORGE

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, jenayah wang palsu masih berleluasa dan penjenayah lebih menyasarkan peniaga kecil dan sedang sibuk.

Menurut beliau, kebanyakan penjenayah bergerak dalam kumpulan dan bukan sekadar menggunakan wang bernilai RM100 atau RM50, tetapi turut mencetak wang palsu bernilai RM20 serta RM10.

“Bergerak dalam kumpulan lebih mudah dan senang untuk kaburkan pandangan mangsa lebih-lebih lagi ketika situasi kelam-kabut.Bila wang palsu diterima mangsa tidak tahu kerana leka dengan pelbagai perkara,” kata beliau semasa dihubungi.

Kata beliau, ada juga aduan jenayah wang palsu dilaporkan oleh peniaga telefon yang `terkena’ selepas menjual aksesori gajet atau telefon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN