ALOR SETAR: Tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang besar perlu dipandang serius dan dijalankan siasatan segera.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, langkah itu perlu bagi memastikan tuduhan-tuduhan tersebut tidak berlarutan hingga menjejaskan kredibiliti SPRM di mata rakyat.
Dalam masa sama katanya, semua pihak tidak sepatutnya mempolitikkan isu berkenaan memandangkan setiap langkah diambil, perlu dipastikan mendatangkan hasil terbaik kepada institusi tersebut yang dianggap antara terpenting dalam negara ini.
“Perlu ada siasatan lebih mendalam dengan cara yang membolehkan rakyat percaya dengan hasil siasatan tersebut. Apatah lagi tuduhan itu datang daripada orang yang berada dalam lingkungan SPRM sendiri seperti Prof. Dr. Edmund Terence Gomez.
“Saya amat berharap supaya semua pihak ketepikan dulu pandangan bersifat politik sebaliknya pastikan isu ini diselesaikan dalam cara paling dipercayai rakyat. Di pihak SPRM, usahlah bersifat defensif manakala orang politik jangan ofensif pula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol, Changlun dekat sini, hari ini.
Pada Selasa lalu, Azam menjelaskan isu adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu dan memaklumkan sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.
Pada majlis itu beliau yang juga Pengerusi PTPTN, menyampaikan sumbangan kepada beberapa individu di kampung tersebut selain melaksanakan kempen penabungan PTPTN di situ.
Ditanya sama ada wajar Azam bercuti sementara siasatan dijalankan seperti didesak beberapa pihak, Wan Saiful berkata, perkara itu bergantung kepada prosedur dalaman SPRM.
“Tuduhan ini bersifat peribadi kepada Azam namun tetap akan memberi impak kepada SPRM jika tidak ditangani dengan baik.
“Sama ada Azam perlu bercuti atau tak, itu perlu rujuk prosedur dalaman SPRM. Ramai tokoh berkaliber, dipercayai dan dihormati rakyat berada dalam beberapa struktur SPRM sekarang dan saya yakin mereka boleh buat keputusan terbaik,” katanya.










