Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah kena hukuman penjara 96 tahun

Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah kena hukuman penjara 96 tahun

AG Mohd Tahir Mohd. Talib di Mahkamah Rasuah, Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd. Tahir Mohd. Talib dipenjara keseluruhan 96 tahun selepas didapati bersalah atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM45 juta oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat turut me­ngenakan denda keseluruhan RM284.3 juta terhadap tertuduh berusia 63 tahun itu dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, beliau boleh dipenjarakan selama 78 bulan.

Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selepas meneliti keseluruhan ketera­ngan serta hujahan dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, alasan dan penjelasan diberikan tertuduh hanya timbul selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan dan penggeledahan terhadap pejabat, rumah serta kenderaan miliknya pada 2016.

Katanya, penjelasan itu me­rupakan afterthought dan tidak mencukupi untuk menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, isteri Ag Mohd. Tahir, Fauziah Piut, 61, dilepas dan dibebaskan daripada 19 pertuduhan pengubahan wang haram selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Turut dilepas dan dibebaskan ialah bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan sama.

Selain itu, Ag Mohd. Tahir dan Fauziah turut dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, ke­salahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 serta 13 Oktober hingga 8 November tahun sama.

Pertuduhan dikemukakan me­ngikut Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian meluas kerana dianggap antara kes pengubahan wang haram terbesar pernah direkodkan di Sabah selain prosidingnya berlarutan hampir sedekad sejak pertuduhan mula difailkan pada 2016. – utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN