KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara tidak gentar untuk berdepan Thailand pada Sukan Asia 2026 biarpun timbul kemungkinan negara jiran itu menurunkan pemain yang masih menjalani penggantungan.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, skuad negara bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang diturunkan Thailand dan tidak mahu isu berkenaan mengganggu fokus pemain.
Beliau berkata, berdasarkan pemahamannya, lima pemain Thailand yang sebelum ini digantung berkemungkinan tidak akan disenaraikan kerana senarai pendek pemain bagi temasya berkenaan sudah ditutup lebih awal.
“Saya tak rasa Thailand bawa (pemain digantung) sebab mereka pun masih dalam penggantungan dan mungkin keputusan terkini yang kita dapat tahu sebelum ini, mereka boleh bayar denda, lepas itu boleh bermain.
“Tetapi yang saya tengok adalah senarai pendek dah tutup pun sebelum ini. Ada ‘long list’ dan ‘short list’. Dalam ‘long list’ memang ada, tetapi dalam ‘short list’ tak ada dan sudah ditutup,” katanya.
Sebelum ini, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengenakan denda terhadap lima pemain dan tiga pegawai Thailand susulan tindakan meninggalkan final Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF Kuala Lumpur 2026 pada Mei lepas.
Lima pemain yang dikenakan hukuman ialah Phutawan Sopa, Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.
Sumali berkata, keputusan membenarkan pemain terbabit beraksi selepas membayar denda dibuat selepas tempoh senarai pendek ditutup, sekali gus menimbulkan persoalan sekiranya mereka mahu dimasukkan pada saat akhir.
Bagaimanapun, Sumali memilih untuk bersangka baik terhadap ISTAF dalam mengendalikan perkara berkenaan, selain percaya badan induk itu memahami situasi yang berlaku.
“Kalau ada sekali pun, kenapa membenarkan ada ‘short list’ sedangkan dia masih dalam penggantungan? Saya bersangka baik bahawa ISTAF menangani cara ini dengan baik dan dia faham situasi itu,” katanya.
Bagaimanapun, Sumali menegaskan Malaysia tidak akan menjadikan isu tersebut sebagai alasan atau tekanan tambahan menjelang pertemuan dengan Thailand, sebaliknya skuad negara akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan.
Beliau berkata, sekiranya Thailand tetap menurunkan pemain yang dipersoalkan itu, Malaysia menyerahkan perkara tersebut kepada ISTAF untuk menentukan tindakan yang sewajarnya.
“Saya nak tengok bagaimana kebijaksanaan ISTAF menangani perkara tersebut. Sebab dalam temasya, saya tak mahu menegangkan lagi isu-isu sebegini. Kita serah kepada ISTAF,” katanya. – UTUSAN










