SK Perian sekolah terpencil tetap cemerlang sukan bola tampar

SK Perian sekolah terpencil tetap cemerlang sukan bola tampar

Pasukan bola tampar Sekolah Kebangsaan Perian yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam Kejohanan Bola Tampar MSSD Jerantut bawah 12 Tahun di Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Perian mencipta nama selaku pencabar dalam kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut bawah 12 tahun yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan bandar Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Walaupun tidak memenangi gelaran johan, tetapi kedudukan di tempat ketiga pasukan lelaki dan perempuan di tempat keempat sudah memadai hasil penat lelah latihan menerusi tunjuk ajar tiga orang guru sebagai jurulatih pasukan bola tampar sekolah tersebut.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, ketua jurulatih bola tampar SK Perian, Muhammad Shaiful Anuar Abdullah Yassin berkata, walaupun kedudukan sekolah itu di luar bandar dan berdekatan pesisir Sungai Pahang mampu bersaing serta pencabar utama berdepan 16 pasukan lain yang bertanding.

“Kita cuma membekalkan latihan yang intensif selama dua minggu sebelum bertanding dibantu dua jurulatih, iaitu Mohd Haizan Mat Yasid dan Nursyafiqah Zulfaker di gelanggang sekolah setiap petang dan hujung minggu.

Menurut Muhammad Shaiful Anuar, usaha gigih jurulatih membuat persediaan latihan sebelum masuk gelanggang ditambah pula kerap kali motivasi yang disampaikan oleh Guru Besar, Zaharuddin Zakaria nyata berbaloi apabila berada dalam senarai kedudukan ketiga bagi pasukan lelaki dan keempat perempuan selepas tamat kejohanan.

“Lebih membanggakan sekolah, pemain pasukan lelaki, Muhammad AAzim Safuan Abdul Hakim dari sekolah ini dinobatkan sebagai Anugerah Perejam Terbaik (Best Spiker) peringkat MSSD bawah 12 tahun.

“Tiga orang pemain sekolah juga telah dipilih menyertai pasukan daerah ke kejohanan peringkat negeri, iaitu Khayra Zahra Khairul Affandi, Laila Jasmine Muhamad Radzi dan Muhammad Aazim Safuan Abdul Hakim,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Zaharuddin Zakaria nyata gembira dan bersyukur dengan pencapaian SK Perian tahun ini serta yakin mampu memperoleh kedudukan yang lebih baik berasaskan bakat dan kesungguhan semasa latihan dan bersemangat ketika bertanding.

Ujarnya, bagi persiapan pertandingan bola tampar tahun depan, barisan jurulatih akan membuat persediaan latihan lebih awal termasuk pencarian pemain berbakat serta mencongak strategi bagi pencapaian yang lebih baik. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN