SERAMAI 13 orang murid beragama Islam menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada bekas guru yang pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol, Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK Sungai Kiol, Jerantut, Rosdi Mat Diah berkata, guru berkenaan pernah mengajar di sekolah tersebut sebelum ini dan bertukar ke sekolah lain dalam dan luar daerah Jerantut termasuk mereka yang sudah bersara.
“Sumbangan makanan dan duit raya ini cukup bermakna bagi murid yang beragama Islam dalam kalangan mereka daripada keluarga berpendapatan rendah menggambarkan perasaan bersyukur untuk menyambut Aidilfitri.
“Program ini dilaksanakan setiap tahun menjelang hari raya dan guru berkenaan bersepakat untuk menyumbang kepada murid beragama Islam di sini,” katanya di SK Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini.
Menurut Rosdi, selain hari raya, kalangan bekas guru termasuk Guru Besar turut beramal jariah menyumbang hadiah dan peralatan pembelajaran sebagai galakan bagi murid Orang Asli etnik Jahut di situ rajin hadir ke sekolah termasuk aktiviti kokurikulum dan koakademik.
Ujarnya, pihak sekolah amat menghargai sumbangan bekas guru berkenaan. –UTUSAN










