Kutipan PIBG sebenarnya yuran atau sumbangan?

Kutipan PIBG sebenarnya yuran atau sumbangan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tular berita hangat seorang pelajar sekolah menengah yang didakwa menerima sampul kosong tanpa berisi wang ganjaran kecemerlangan akademik ketika diraikan dalam majlis penghargaan kerana tunggakan Sumbangan PIBG selama lima tahun berturut.

Senario ini menarik perhatian pelbagai pihak sehingga memaksa Menteri Besar dan Ketua Pengarah Negeri sendiri mengeluarkan pemakluman rasmi bagi meredakan polemik semasa.

Persoalan utama sekarang adakah bayaran PIBG ketika ini bersifat yuran wajib atau diistilahkan sebagai sumbangan sukarela sampai tak wajib dibayar?

Sebelum bergerak ke kupasan lanjut, mari kita telusuri sejarah yuran pendidikan negara secara ringkas.

Bermula 2007, Yuran Peperiksaan Awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM) telah dimansuhkan dalam memastikan semua pelajar dapat menduduki peperiksaan tanpa sebarang halangan kewangan.

Pada 1 Jan 2008 pula, Parlimen telah bersetuju menggugurkan Yuran Khas ke atas setiap pelajar iaitu RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9.00 bagi sekolah menengah.

Namun langkah paling drastik adalah pengumuman Bajet Negara Tahun 2012 di mana keseluruhan yuran pendidikan di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan dimansuhkan sepenuhnya.

Pemansuhan ini meliputi bayaran kokurikulum, kertas ujian, sukan tahunan, insurans takaful dan yuran perpustakaan.

Ini menjadikan keseluruhan rakyat Malaysia berpeluang mendapatkan akses pendidikan percuma selama 11 tahun melalui institusi KPM.

Bertitik tolak daripada rentetan ini, maka peranan kutipan bayaran PIBG telah dilihat menjadi sangat penting oleh Jawatankuasa Persatuan dan Pentadbir Sekolah dalam membiayai kos aktiviti tambahan murid, penyelenggaraan kecil, mewujudkan fasiliti keceriaan inklusif serta pelbagai program ganjaran kecemerlangan yang tidak dibiayai geran kerajaan.

Walau bagaimana kelompangan situasi ini telah dikawal melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 1/2012 bertarikh 20 Jan 2012 di mana istilah “Yuran” diganti dengan “Sumbangan PIBG”.

Pekeliling ini juga mengikat bahawa bayaran secara sukarela daripada ibu bapa penjaga kepada pihak sekolah dilaksanakan melalui PIBG sebagai perantara utama.

Masa yang sama Persatuan turut diikat oleh Perkara 38, Akta Pendidikan 1996 dan Perkara 37, Peraturan-Peraturan Pendidikan (PIBG) 1998 yang secara jelas menyatakan bahawa tiada kutipan dibenarkan tanpa pengetahuan serta mendapat persetujuan majoriti ahli yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

Klausa ini secara jelas menyatakan ahli juga berhak menyuarakan bantahan secara terbuka sewaktu AGM sekiranya kutipan berkenaan dianggap terlalu tinggi atau tidak munasabah sebelum undian akhir dilaksanakan.

Pihak Pendaftar KPM turut diberikan kuasa mandatori untuk membatalkan kutipan ini sekiranya ia dilaksanakan secara tidak sah setelah aduan disiasat.

Biar pun kelihatan seolah-olah KPM berat sebelah dengan cenderung menjaga kepentingan ibu bapa penjaga, realitinya banyak hebahan surat pekeliling dikeluarkan ada menyatakan secara jelas bahawa ahli digalakkan untuk membayar sumbangan penuh bagi menyokong fungsi penubuhan PIBG yang banyak berteraskan manfaat kepada anak-anak.

Berdasarkan huraian di atas, mungkin pembaca akan mendapati bahawa istilah Sumbangan PIBG yang digunapakai KPM bukanlah bermaksud mutlak bahawa ahli persatuan boleh mengabaikan pembayaran berkenaan.

Secara tertib turut dinyatakan sekiranya ada halangan kewangan, perkara hendaklah diselesaikan secara rundingan harmoni oleh semua pihak berkepentingan.

Bukannya berdiam diri sehingga menimbulkan perspektif negatif kepada sekolah dan PIBG di masa akan datang.

Malangnya apa yang dapat kita lihat sekarang di media sosial wujudnya segolongan ibu bapa penjaga yang menggunakan istilah “Sumbangan PIBG” dan klausa pekeliling “Secara Sukarela” untuk menjustifikasi keengganan membayar.

Lebih menyedihkan sekiranya ideologi ini datangnya daripada individu yang berkemampuan dan berpelajaran.

Tambah menjengkelkan golongan ini turut tidak pernah sesekali pun menjejakkan kaki hadir ke AGM untuk bersuara dan hanya membantah setelah ia selesai diputuskan secara majoriti. Ibarat rumah siap, pahat baru berbunyi.

Natijahnya Jawatankuasa PIBG turut sedar akan kewujudan golongan yang kurang berkemampuan (Golongan Asnaf Zakat), ahli yang berkemampuan tetapi mengalami masalah pengurusan kewangan peribadi atau ahli yang memiliki ramai anak di sekolah yang sama/berlainan sehingga mengalami beban kewangan yang tinggi.

Secara amalannya Persatuan tidak pernah memberatkan mereka tetapi sebaliknya menawarkan keringganan berdasarkan case-by-case basis yang dipersetujui secara bersama dalam setiap pertemuan.

Adalah diharapkan melalui pencerahan ini, ibu bapa penjaga boleh menghadirkan diri sepenuhnya ke AGM anjuran PIBG sepertimana kehadiran 100% setiap kali waktu menerima Bantuan Awal Persekolahan yang disalurkan Kerajaan.

Segala isu yang timbul ini boleh diselesaikan secara sejahtera di mana ianya bermula di AGM.

Bagi masalah yang bersifat peribadi setelah undian majoriti dipersetujui, pertemuan bersemuka adalah jalan terbaik. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

MUHAMMAD NOOR HAFIZ KASIM

Jawatankuasa PIBG Prihatin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN