Suasana penuh ceria dan gelak tawa jelas terpancar di McDonald’s Titiwangsa Drive-Thru apabila kira-kira 70 guru daripada beberapa sekolah sekitar ibu negara diraikan dalam sambutan Hari Guru anjuran McDonald’s Malaysia, baru-baru ini.
Program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan selain menandakan 10 tahun inisiatif penghargaan guru dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia sejak 2017.
Guru-guru yang hadir daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Nan, SJKC Chong Hwa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sentul turut mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti santai dan interaktif yang disediakan sepanjang program berlangsung.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia merangkap Timbalan Setiausaha Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, sambutan tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada golongan pendidik yang menjadi tunjang utama dalam membentuk generasi masa depan negara.
Menurut beliau, McDonald’s Malaysia sentiasa percaya restoran mereka bukan sekadar tempat menikmati makanan, malah menjadi ruang komuniti yang menghubungkan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti bermakna.
“Para guru adalah tunjang utama sesebuah komuniti, individu yang memberi inspirasi kepada generasi dan membentuk masa depan masyarakat serta negara kita,” katanya ketika berucap pada program tersebut.
Katanya, sambutan Hari Guru tersebut telah diraikan di lebih 3,000 sekolah sejak diperkenalkan pada 2017 dan akan terus dilaksanakan pada masa akan datang.
“Tahun ini menandakan tahun ke-10 kami meraikan Hari Guru dan McDonald’s Malaysia akan terus komited menjalankan aktiviti penghargaan kepada guru-guru,” katanya lagi.
Selain meraikan guru, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan kepada pihak sekolah bagi membantu menambah baik ruang pejabat guru sebagai sebahagian usaha menghargai jasa pendidik.
Dalam pada itu, guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani SJKC Chiao Nan, Muhammad Nazri Muhammad Ali berkata, program seperti itu memberi peluang kepada guru untuk berehat seketika daripada rutin harian di sekolah.
Menurut beliau, penghargaan seperti itu memberi makna besar kepada golongan pendidik terutama guru-guru muda yang baru memulakan kerjaya dalam bidang perguruan.
“Saya rasa amat gembira kerana dapat menikmati suasana santai bersama rakan-rakan guru tanpa perlu fikir banyak perkara berkaitan kerja,” katanya.
Beliau yang baru setahun setengah bergelar guru berkata, antara cabaran terbesar mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina adalah membantu murid menguasai Bahasa Melayu yang bukan bahasa ibunda mereka.
Bagi guru Pendidikan Islam SK Bandar Baru Sentul, Sabarina Abu Bakar pula, sambutan seperti itu memberi suntikan semangat kepada guru untuk terus mendidik anak bangsa walaupun berdepan cabaran dunia pendidikan masa kini.
Beliau yang telah 17 tahun bergelar pendidik berkata, perkembangan teknologi dan dunia digital menjadi antara cabaran terbesar guru pada masa sekarang kerana murid mudah terdedah kepada pelbagai maklumat di internet.
“Kita bukan sahaja mengajar, tetapi perlu membimbing murid bagaimana menggunakan internet dengan cara yang betul,” ujarnya.
Tambahnya, penghargaan kecil seperti buku nota yang diberikan dalam program tersebut juga membawa makna besar kepada guru-guru.
“Guru sangat menghargai setiap penghargaan yang diberikan kerana ia menyuntik semangat untuk kami terus mendidik,” katanya lagi.
Sementara itu, guru Bahasa Melayu SK Bandar Baru Sentul, Nik Nurnabila Rasyika Yaakob berkata, penghargaan seperti itu membuatkan guru berasa lebih dihargai atas pengorbanan mereka dalam mendidik generasi muda.
Menurut beliau, cabaran guru masa kini jauh berbeza berbanding dahulu kerana pendidik perlu menyesuaikan diri dengan perubahan budaya dan cara pemikiran generasi sekarang.
“Sebagai guru, kita perlu belajar menyesuaikan diri dengan generasi sekarang supaya ilmu yang disampaikan dapat diterima dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kepuasan terbesar sebagai pendidik adalah apabila melihat murid berjaya memahami ilmu yang disampaikan dan menjadi insan yang berjaya.
“Mesej saya sempena Hari Guru tahun ini, teruskan semangat mendidik dan terima kasih kepada semua guru yang banyak berjasa kepada anak bangsa,” katanya.-UTUSAN









