Pelajar Politeknik Seberang Perai (PSP) sekali lagi membuktikan keupayaan dalam bidang teknikal apabila berjaya menyiapkan kerja-kerja penghasilan tiga gelanggang pickleball menerusi penganjuran kursus mengecat gelanggang sukan yang diadakan selama tiga hari baru-baru ini.

Program tersebut dilaksanakan dengan bimbingan dan khidmat kepakaran daripada Bina Paint Industries Sdn. Bhd. melalui tenaga pengajar industri, Wan Fadil Aidi Ahmad.
Sepanjang kursus berlangsung, para pelajar didedahkan secara langsung kepada teknik penyediaan permukaan lantai, proses bancuhan bahan, aplikasi lapisan cat gelanggang, ukuran garisan permainan pickleball serta kaedah kerja yang menepati standard industri.
Pendekatan pembelajaran secara praktikal atau “hands-on” itu memberi peluang kepada pelajar untuk menguasai kemahiran sebenar dalam bidang teknikal dan penyelenggaraan fasiliti sukan.
Walaupun berhadapan dengan cabaran cuaca serta beberapa kekangan teknikal sepanjang pelaksanaan program, semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi para pelajar berjaya memastikan projek tersebut disiapkan dengan baik dan mengikut perancangan.
Pengarah PSP, Mohd Ruzi Hamzah berkata, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembinaan gelanggang pickleball itu satu inisiatif yang amat membanggakan kerana berjaya dilaksanakan melalui semangat gotong-royong dan kerjasama erat antara pelajar serta staf PSP.

“Pelajar PSP bukan sahaja didedahkan kepada program pengajian masing-masing, malah turut diberi peluang mengikuti teknik dan kursus berfaedah yang mampu meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa pelajar TVET bukan sahaja mampu menguasai teori di bilik kuliah, malah berupaya mengaplikasikan kemahiran teknikal dalam projek sebenar yang memberi manfaat kepada institusi serta komuniti.
Pihak PSP turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri atas kerjasama strategik yang terjalin dalam memperkukuhkan hubungan industri-akademia serta membantu melahirkan graduan TVET yang kompeten dan berkemahiran tinggi. –UTUSAN










