KUALA LUMPUR : Persatuan Makara Seni dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Teater Malaysia (PTM) bekerjasama mementaskan teater sebabak Atap Genting Atap Rumbia (AGAR) bagi menghargai jasa dan sumbangan guru tanah air.
Teater karya Kaladewata itu akan dipentaskan selama dua malam berturut-turut iaitu pada 18 dan 10 Mei ini di Auditorium DBP sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
Teater tersebut diarahkan oleh aktivis teater Tukang Sakrani Shamsuddin yang juga Presiden PTM dan dijangka mengambil masa pementasan selama dua jam.
Atap Genting Atap Rumbia mengisahkan Shamsuddin, seorang pemuda desa, mengunjungi rumah kekasihnya, Shamsiah, untuk menyatakan hasrat mengahwini gadis kota itu kepada bapanya, Jamal.
Kedatangannya bagaimanapun disambut dingin oleh Hindon, ibu Shamsiah, yang memandang rendah status sosial Shamsuddin kerana dia lebih mendambakan menantu yang kaya.
Hindon sengaja mencipta helah menghalang Shamsuddin daripada bertemu suaminya dan mendesak pemuda itu menghantar wakil yang ‘setaraf’.
Walaupun Jamal bersikap terbuka dan merestui hubungan tersebut, Hindon tetap berkeras mahu menjodohkan Shamsiah dengan Jaafar, seorang lulusan universiti anak orang berada.
Melihat konflik ini, dua orang gaji Shamsiah iaitu Mak Temah dan Pak Abu bertindak berpakat demi membantu Shamsiah .
Mereka berlatih meniru gaya, bahasa, dan pakaian orang kenamaan kota untuk menyamar sebagai ibu bapa Shamsiah.
Di kampung pula, bapa Shamsuddin iaitu Pak Salleh melahirkan keraguan tentang jurang budaya antara kota dan desa, namun akur selepas dipujuk oleh isterinya, Mak Piah.
Wakil meminang daripada kampung akhirnya datang dan disambut oleh Mak Temah serta Pak Abu yang menyamar, lalu sepentuk cincin belah rotan diterima wakil atap genting.
Rahsia pecah apabila Encik Jamal dan Puan Hindon pulang awal daripada satu majlis lalu terserempak dengan Mak Temah dan Pak Abu yang masih berpakaian mewah.
Hindon yang terlampau marah mendesak agar cincin tersebut dipulangkan segera. Berita pemulangan cincin ini disampaikan oleh Shamsiah kepada Shamsuddin melalui sepucuk surat. Pada hujung minggu, ibu bapa Shamsiah datang ke kampung Shamsuddin.
Antara barisan pelakon AGAR ialah Mohd Azam Rezali yang mendukung watak Jamal dan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Haslinaz Hanapi (Hindon) yang merupakan isteri kepada Encik Jamal yang bersikap “hidung tinggi” (sombong).
Seorang lagi pensyarah IPG yang turut berlakon ialah Wan Nur Aida Sakinah Wan Jusoh yang memegang watak Shamsiah berusia 19 tahun. – UTUSAN










