SKILLBOX@Kelab Malaysiaku bentuk pemimpin masa depan

SKILLBOX@Kelab Malaysiaku bentuk pemimpin masa depan

JULINA Johan bersama peserta yang menghadiri Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026 di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Penganjuran program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026 oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan seramai 500 pelajar sekolah menengah dari seluruh Semenanjung di Kem Permata Resort di sini.

Ketua Pengarah JAPEN, Julina Johan berkata, program tersebut yang pertama kali dianjurkan dalam skala besar itu menjadi saluran JAPEN berkongsi pelbagai ilmu dan kepakaran dilihat berhasil memberi impak kepada pembangunan pelajar yang menyertainya.

Jelasnya, program itu merupakan inisiatif JAPEN bagi melatih ahli Kelab Malaysiaku dalam aspek komunikasi, kepimpinan dan pembentukan sahsiah diri selaras dengan cabaran dunia masa kini.

Menurut beliau, program bertemakan Aspirasi Diri Anak Bangsa (ADAB) itu bertujuan melahirkan generasi pelajar yang berani, berdaya saing dan bijak mendepani cabaran semasa melalui pendedahan kepada kemahiran insaniah secara praktikal.

“Program ini bukan sekadar menghimpunkan pelajar dari seluruh semenanjung tetapi menjadi platform untuk membentuk generasi muda yang mempunyai keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat patriotisme yang tinggi.

“Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik teknologi dan media digital malah mempunyai jati diri kukuh serta mampu menjadi pemimpin masa depan negara,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung Tahun 2026 pada Ahad lalu.

Hadir bersama Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Hasiran Lemat dan Pengarah JAPEN Melaka, Mazli Hamdan.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula dari 8 hingga 10 Mei itu turut menandakan evolusi baharu SKILLBOX yang sebelum ini pernah dilaksanakan secara dalam talian ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2021 sebelum diteruskan dalam skala kecil di Perak pada 2022.

Julina berkata, kali ini, pendekatan program diperkasakan menerusi pelaksanaan secara fizikal sepenuhnya yang membolehkan peserta mengikuti latihan secara langsung, aktiviti berkumpulan dan latihan praktikal.

Katanya, pendekatan itu dilihat memberi pengalaman pembelajaran lebih berkesan apabila peserta bukan sahaja mendengar teori malah berpeluang mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari sepanjang program berlangsung.

“Antara kekuatan utama SKILLBOX 2026 adalah penambahan modul baharu yang lebih relevan dengan perkembangan semasa termasuk elemen multimedia, komunikasi digital dan Mobile Journalism (MOJO),” ujarnya.

Beliau berkata, pendedahan itu memberi peluang kepada pelajar memahami penggunaan media secara positif selain meningkatkan kreativiti dan kemahiran komunikasi digital dalam kalangan generasi muda.

Sebagai nilai tambah, majlis perasmian penutupan hari ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar sebagai latihan praktikal dalam pengurusan majlis dan kepimpinan berdasarkan modul yang telah dipelajari.

“Program ini turut diserikan dengan segmen Kenegaraan dan Patriotisme bersama artis budaya JAPEN yang memberi penekanan kepada semangat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Selain itu, peserta didedahkan kepada elemen inovasi DIY menerusi segmen Interaktif@Influencer bersama pempengaruh muda popular, Amin dan Abid dengan sokongan tajaan STEM kit oleh Yayasan Mr. D.I.Y. serta segmen

Road to Varsity yang menampilkan tutor selebriti terkenal, Sir Fathi dan Sir Badang dari MC+ turut memberi inspirasi kepada para peserta.

Program SKILLBOX 2026 ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan penajaan produk makanan dan minuman daripada Nestle (Malaysia) Berhad. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN