SERDANG: inisiatif pembangunan Surau Wakaf di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan wakaf bagi menyokong kesejahteraan warga kampus serta kelestarian institusi berteraskan ilmu.
Majlis perasmian surau berkenaan disempurnakan Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah di kampus universiti itu di sini.
Menurut beliau, moto UPM iaitu ‘Berilmu Berbakti’ mencerminkan tanggungjawab universiti dalam menghayati dan memanfaatkan ilmu demi kesejahteraan masyarakat.
“Perpustakaan kini bukan lagi sekadar pusat rujukan tradisional, sebaliknya berperanan sebagai penghubung antara maklumat dan ilmu yang akhirnya diterjemahkan kepada khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya ketika menyampaikan tazkirah selepas mengimamkan solat Zohor bersama warga perpustakaan.
Sementara itu, Ketua Pustakawan UPM, Haslina Abu Seman berkata, pembangunan Surau Wakaf berkenaan mencerminkan usaha universiti memperkukuh model pembiayaan alternatif menerusi wakaf yang mampan.
Katanya, wakaf merupakan antara strategi penting dalam menyokong keperluan semasa serta membina kapasiti masa hadapan universiti, termasuk memperkasa kemudahan dan akses kepada koleksi bercetak serta digital.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan pelbagai sumbangan wakaf termasuk Mushaf Al-Quran Braille oleh King Abdulaziz University, koleksi kitab karya tokoh ilmuwan Islam Yusuf al-Qaradawi menerusi inisiatif Mohd Sukki Othman, serta peruntukan Wakaf Buku Digital PSAS berjumlah RM153,420.70 daripada Dana Wakaf Ilmu UPM.
Turut hadir, Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan, pegawai Pusat Islam Universiti, wakil Majlis Perwakilan Pelajar serta warga PSAS. – UTUSAN










