fbpx

22 Januari 2022, 4:48 pm

  TERKINI

Tuchel bermain ‘teka-teki’

AKSI bintang Manchester City Kevin De Bruyne bakal mencuri tumpuan dalam pertembungan menentang Chelsea malam ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Thomas Tuchel berkata, Chelsea hanya akan menukar kepada sistem empat pertahanan menentang Manchester City hari ini jika ia dianggap ‘masuk akal’ dalam pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris tersebut.

Ketika menumpaskan Tottenham pada separuh akhir Piala Liga kelmarin, pengendali Blues itu menggunakan empat pertahanan dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu kecederaan dan masalah Covid-19 yang menimpa.

Formasi itu berjaya dan mereka menang 1-0 untuk mara ke final secara agregat 3-0.

Bagaimanapun berdepan pendahulu liga, City, Tuchel berkira-kira untuk kembali kepada formasi kebiasaan, 3-4-2-1, di mana Antonio Rudiger yang meledak gol kemenangan ke atas Spurs akan mengetuai benteng.

Begitupun Tuchel mengakui, keputusan belum muktamad dan tidak mustahil Blues menukar semula taktikal, bergantung kepada keperluan.

“Jika ia masuk akal (empat pertahanan) dan kami memerlukannya, maka kami akan melihat semula.

“Kami telah bermain dua kali (menggunakan formasi berbeza) dan dalam kedua-dua perlawanan kami sangat komited dengan struktur, malah amat sangat berdisiplin.

“Masalah (kecederaan dan Covid-19) berjaya diselesaikan, jadi kami tengok balik apakah ada keperluan untuk pertukaran dilakukan sekali lagi,” kata Tuchel.

Penyerang sensasi Belgium, Romelu Lukaku yang sudah ‘keluar’ dari kontroversi dijangka mengetuai jentera serangan, sambil disokong oleh Kai Havertz serta Mason Mount.

PEMAIN Chelsea sedia tewaskan Manchester City di Etihad.-AFP

Sementara itu, City berpeluang melebarkan jurang mata kepada 13 jika menundukkan Blues, peluang yang tidak mahu disia-siakan pengendalinya, Pep Guardiola, terutama beraksi di laman sendiri.

Skuad The Citizens yang meledak 53 gol dalam 21 perlawanan musim ini (paling tinggi dalam kalangan 20 kelab EPL) dan hanya dibolosi 13 gol (paling rendah) dijangka menggunakan formasi 4-3-3 dengan trio Bernardo Silva, Gabriel Jesus dan Phil Foden mengetuai serangan.

Kevin de Bruyne akan terus menjadi ‘arkitek’ di bahagian tengah dan kehadirannya mampu membawa perbezaa besar kepada pasukan. – AGENSI

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN