PUTRAJAYA: Isu akreditasi program pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak sepatutnya ditimbulkan semula kerana universiti berteraskan pertanian itu mempunyai status swaakreditasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya tidak pasti apakah motif pihak yang menularkan semula artikel sebuah portal dalam talian mengenai status akreditasi program UPM, walhal UPM dan MQA sudah mengeluarkan kenyataan balas pada hujung Mei tahun lalu.
“Universiti dengan status swaakreditasi telah diluluskan boleh melakukan proses akreditasi sendiri dan bagi memastikan jaminan kualiti program ditawarkan mengikut standard maksimum, MQA melakukan audit secara berkala di universiti yang dianugerahi status itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu dakwaan seorang graduan mengatakan program ditawarkan UPM tidak mendapat pengiktirafan di luar negara yang ditularkan semula, baru-baru ini.
Mohammad Shatar berkata, status swaakreditasi melayakkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk akreditasi program pengajiannya sendiri kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan.
Beliau berkata, peruntukan undang-undang bagi MQA melaksanakan perkara berkaitan swaakreditasi termaktub dalam Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).
Katanya, di Malaysia terdapat 20 universiti awam (UA) serta ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan ketika ini sebanyak 19 institusi pengajian tinggi (IPT) sudah mendapat status swaakreditasi daripada MQA.
“Selain lima universiti penyelidikan tempatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga mempunyai status swaakreditasi.
“Dengan status swaakreditasi, IPT berkenaan boleh menawarkan program yang dirasakan bersesuaian dan mendapat permintaan tinggi selepas melalui proses akreditasi serta dipersetujui senat universiti,” katanya.










