Tiada perlakuan jenayah dilakukan Azam Baki - LPPR - Utusan Malaysia

Tiada perlakuan jenayah dilakukan Azam Baki – LPPR

ABU Zahar Ujang bercakap dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan berhubung pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat panel LPPR pada 24 November tahun lalu.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu, Azam dipanggil bagi memberi penjelasan sebenar mengenai dakwaan pemilikan saham berkenaan kepada ahli panel LPPR yang lain.

“Azam memaklumkan beliau tidak memiliki apa-apa kepentingan dalam mana-mana syarikat dan saham-saham berkenaan.

“Pembelian saham-saham itu dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015.

“Bagaimanapun, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir Baki dalam tahun sama,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Katanya, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan Azam itu dan bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa tertentu.

Bagaimanapun, Abu Zahar berkata, isu itu bagaimanapun dibangkitkan dan ditularkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Dr. Edmund Terence Gomez dan perkara ini amat mengejutkan.

“Sebagai seorang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, tentu sekali Edmund tahu struktur dan tanggungjawab semua lima panel yang bebas memantau semua perjalanan pentadbiran SPRM,” katanya.

Ditanya sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diwujudkan berhubung isu ini, Abu Zahar berkata, laporan berhubung isu ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Buat masa ini tidak perlu RCI, tetapi apa-apa keputusan tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri kelak,” katanya.

Berhubung dakwaan kononnya Edmund menghantar surat kepadanya berhubung isu saham Azam, Abu Zahar berkata, beliau langsung tidak menerima apa-apa surat sehingga hari ini.

“Saya bersikap terbuka untuk berbincang dengan Edmund dalam hal ini, kerana saya tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa sekiranya wujud salah laku membabitkan pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya.

Sebelum ini, Edmund dilaporkan meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR kerana mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN