HAMPIR 34 peratus daripada lesen penjaja di Kuala Lumpur adalah milik peniaga pasar malam. Ini bukan angka kecil. Ini menunjukkan ribuan keluarga bergantung kepada gerai bergerak ini sebagai sumber rezeki utama mereka.
Mereka bukan sekadar peniaga kecil. Mereka adalah tukang masak, jurujual, pengiklan, pembekal yang semuanya berada di sebuah pasar malam. Mereka berniaga dalam panas, hujan, kadang-kadang tanpa jaminan sosial atau perlindungan insurans. Tetapi mereka tetap tabah, kerana inilah mata punca rezeki, demi sesuap nasi.
Satu perkara yang menjadikan pasar malam begitu istimewa ialah ia merupakan platform ‘latihan industri’ sebenar bagi usahawan kecil. Tanpa perlu modal besar atau pejabat cantik, sesiapa pun boleh mula berniaga asalkan mempunyai produk, semangat dan keazaman.
Inilah ruang untuk mencuba dan gagal, belajar dan bangkit semula. Ada yang bermula dengan menjual makanan di meja lipat dan kini sudah mempunyai kilang kecil. Tetapi semuanya bermula dari lorong pasar malam.
Sayangnya, banyak dasar kerajaan tentang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih terlalu fokus kepada syarikat formal yang berdaftar. Peniaga kecil seperti ini jarang dilihat sebagai sebahagian daripada ‘ekosistem keusahawanan’ sedangkan mereka inilah yang mewarnai dan menggerakkan ekonomi tempatan saban hari.
Lihat Taiwan atau Thailand, pasar malam mereka menjadi tarikan pelancong yang wajib dikunjungi.
Bagaimana pula di Malaysia? Pasar malam kita jauh lebih kaya dengan makanan unik, kepelbagaian budaya dan suasana mesra rakyat tetapi masih belum diposisikan sebagai aset pelancongan utama.
Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil antaranya, mengiktiraf pasar malam sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonomi, bukan sekadar hal ehwal pihak berkuasa tempatan (PBT). Sediakan infrastruktur yang sesuai seperti tandas bersih, tempat letak kereta, akses pengangkutan awam yang bukan sahaja untuk pengguna tetapi juga untuk peniaga yang perlu mengangkut barang dari rumah ke gerai.
Kedua, berikan sokongan kewangan dan latihan, bukan dengan syarat yang rumit tetapi bersesuaian dengan realiti mereka.
Selain itu, geran mikro, skim pinjaman mudah atau latihan perniagaan asas boleh bantu mereka naik setapak demi setapak. Paling penting ialah kesedaran terhadap kesemua sistem sokongan ini dan permohonan yang tidak begitu menyusahkan.
Ketiga, jangan paksa mereka bertukar kepada sektor formal terlalu cepat sebaliknya membantu mereka untuk berkembang dengan pilihan. Ada yang selesa dengan cara lama, ada yang mahu bergerak ke hadapan. Ia merupakan pilihan yang wajar dihormati.
Pasar malam bukan sekadar tempat makan dan membeli. Ia adalah pentas impian. Ia adalah tempat lahirnya ribuan usahawan kecil yang bekerja siang malam, bukan untuk kaya raya tetapi untuk hidup dengan bermaruah.
Sempena Hari PKS, mari kita raikan bukan hanya syarikat besar yang ‘masuk’ program televisyen atau naik pentas anugerah. Mari kita raikan juga makcik yang menjual keropok lekor di Ampang, abang burger di Kodiang mahupun adik muda yang jual baju terpakai (bundle) di pasar malam Kota Kinabalu.
Merekalah wajah sebenar keusahawanan rakyat!
DR. MOHD. AMIRUL RAFIQ ABU RAHIM
Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah










