SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kewujudan syarikat, institusi perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip dana umat Islam bagi kepentingan peribadi.
Baginda bertitah, ketika ini banyak pihak yang membuat kutipan dan menguruskan harta umat Islam termasuk kutipan infak, sumbangan dan fidyah, namun sebahagian besarnya tidak dilantik oleh pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan majlis agama Islam negeri-negeri.
“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak itu terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi tujuan kepentingan peribadi. Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam.
“Beta ingin menegaskan di Malaysia, majlis agama Islam negeri-negeri adalah badan berautoriti dan pemegang amanah tunggal bagi baitulmal di negeri masing-masing. Perkara itu dinyatakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam setiap negeri. Ia juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri,” titah baginda sempena penganjuran Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 di sini, hari ini.
Sultan Selangor menambah baitulmal merupakan institusi perbendaharaan bagi umat Islam yang dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad SAW yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan harta bagi memenuhi keperluan kebajikan masyarakat serta membiayai urusan pentadbiran negara Islam.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan melafazkan perasmian konvensyen tersebut yang turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin serta delegasi baitulmal dari negara ini, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Sultan Sharafuddin menegaskan Islam sangat mementingkan amanah termasuk pengurusan harta umat Islam pada masa ini dan ia mesti diletakkan kepada institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran.
“Oleh itu, masyarakat Islam hendaklah memastikan setiap dana umat Islam disalurkan kepada pihak berkuasa iaitu MAIS atau majlis agama Islam negeri-negeri atau pihak yang mendapat kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa.
“Sebagai pemegang amanah (pula), mereka (khususnya MAIS) perlu memastikan pengurusan harta oleh baitulmal dilaksanakan secara telus, cekap dan profesional serta mematuhi hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tadbir urus baitulmal mestilah sentiasa berada pada tahap tertinggi. Dana umat Islam hendaklah diurus, diagihkan, dikembangkan dan dimanfaatkan bagi menjaga maslahah dan kepentingan umat Islam,” jelas baginda.
Dalam pada itu, baginda juga mengingatkan baitulmal supaya menjadi institusi yang dapat membangunkan kekayaan umat Islam dan tidak berperanan sebagai institusi yang mengutip harta umat sahaja.
“Kerjasama strategik dengan rakan korporat seperti institusi perbankan dan kewangan Islam serta syarikat pengurusan kehartaan Islam perlu dipertingkatkan. Ia akan membolehkan MAIS dan majlis agama Islam negeri-negeri meningkatkan nilai aset baitulmal termasuklah membangunkan aset komersial berimpak tinggi yang mampu menjana pulangan untuk ummah.
“Selanjutnya, bantuan dan sokongan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga adalah sangat penting dalam menyokong agenda pemerkasaan baitulmal,” ujar baginda.
Malah, Sultan Selangor menambah, pemerkasaan undang-Undang berkaitan pengurusan harta Islam seperti undang-undang pusaka Islam hendaklah disegerakan untuk menyelesaikan isu pertindihan bidang kuasa sivil dan syariah.
“Semua itu perlu dilaksanakan segera agar harta pusaka beku masyarakat Islam dapat diselesaikan dan dialirkan semula dalam kitaran ekonomi ummah,” titah baginda. – UTUSAN











