TEMA Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini ialah ‘Menamatkan Pencemaran Plastik’. Krisis ini amat teruk di Asia Tenggara dan disebabkan oleh penggunaan plastik yang tinggi, ketidakcukupan infrastruktur pengurusan sisa dan pengimportan sisa plastik yang berterusan. Keadaan ini diburukkan lagi oleh pergantungan tinggi rantau ini terhadap sumber makanan akuatik serta kadar pembandaran yang pesat, sekali gus menjadikan populasinya antara yang paling terdedah di dunia terhadap pencemaran mikroplastik.
Analisis global mendapati pengambilan mikroplastik dalam pemakanan meningkat secara mendadak antara 1990 dan 2018, dengan negara Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Malaysia, Filipina dan Vietnam menunjukkan peningkatan sebanyak 59 kali ganda. Indonesia kini berada pada kedudukan tertinggi dalam pengambilan mikroplastik global, dengan individu menelan anggaran 15 gram sebulan, terutamanya melalui makanan laut.
Mikroplastik dikesan dalam semua sampel makanan laut yang diuji di Indonesia dan Vietnam dan dalam air minuman di Thailand, dengan purata kepekatan 5.5 zarah seliter.
Di Filipina, mikroplastik atmosfera ditemui dalam debu jalanan dan persekitaran dalaman. Pencemaran tanah juga sama. Kajian mendapati mikroplastik dalam hampir semua sampel tapak pembuangan di seluruh Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina dan Vietnam, dengan Filipina melaporkan kepekatan median tertinggi ialah 24,000 keping setiap kilogram tanah. Zarah-zarah ini berasal daripada produk pengguna harian seperti pembungkusan dan botol. Lebih membimbangkan lagi, 40 ke 60 peratus bahan tambahan plastik dalam tanah ini dikaitkan secara langsung dengan serpihan mikroplastik. Ini mendedahkan dwi peranannya sebagai bahan pencemar fizikal dan pembawa bahan kimia berbahaya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ASEAN mengeluarkan beberapa deklarasi yang menyatakan komitmen serantau terhadap kelestarian alam sekitar, pencemaran plastik dan hak asasi manusia. Seperti yang ditekankan dalam Deklarasi ASEAN mengenai Kebolehkitaran Plastik (ASEAN, 2023), “menyelesaikan pencemaran plastik, termasuk dalam persekitaran marin, memerlukan pendekatan kitaran hayat penuh, termasuk mengekang penjanaan sisa plastik pada sumbernya di darat dan laut serta mencegah kebocorannya ke dalam alam sekitar termasuk melalui industri.”
Ini menekankan usaha sedikit demi sedikit tidak lagi mencukupi. Untuk memerangi krisis plastik dan mikroplastik dengan berkesan, kita mesti menggunakan strategi berasaskan sains sistemik yang menangani keseluruhan kitaran hayat plastik daripada pengekstrakan dan pengeluaran kepada penggunaan, pelupusan dan pemulihan.
Tanpa menangani punca pencemaran plastik dan bahan tambahan kimia toksik yang tertanam dalam plastik, kesihatan rakyat, ekosistem dan ekonomi akan terus merosot.
Kerajaan perlu mengakui pencemaran mikroplastik termasuk pelepasan meluas, kebocoran ke alam sekitar, serta peranannya sebagai pembawa bahan kimia berbahaya merupakan darurat kesihatan awam dan bencana ekologi. Pencemaran ini bukan sahaja menjadi kebimbangan alam sekitar, malah ia adalah masalah kesihatan manusia, sistem makanan dan hak asasi manusia. Skop dan kerumitan krisis memerlukan tindakan segera dan perubahan sistemik. Walaupun tindakan lebih menyeluruh perlu diambil di peringkat nasional, namun kita juga mesti bertindak secara berkesan di peringkat global bagi mewujudkan instrumen yang mengikat secara sah di peringkat antarabangsa untuk menamatkan pencemaran plastik.-UTUSAN
MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)











