BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengakui mencederakan sehingga menembak rakyat Palestin di pusat agihan bantuan di Semenanjung Gaza.
Sejak penghantaran bekalan secara terhad oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) disambung semula, lebih 600 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan, menurut PBB.
“Berikutan insiden orang awam yang tiba di fasiliti agihan tercedera, pemeriksaan menyeluruh dijalankan oleh Komando Selatan dan arahan baharu diberikan kepada pasukan berdasarkan ‘pengajaran’ yang diperoleh,” kata jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu juga menyebut insiden yang melibatkan kecederaan orang awam di Gaza dalam semakan.
Tindakan ini susulan laporan akhbar Haaretz yang memetik Peguam Tentera Israel mengarahkan siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang berhubung dakwaan tentera Israel sengaja melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin berhampiran tapak agihan bantuan.
Jurucakap tentera enggan mengulas laporan Times of Israel yang memetik sumber bahawa tembakan meriam yang sepatutnya digunakan untuk menghalang orang awam Palestin menghampiri zon tertentu berhampiran pusat bantuan didapati tidak tepat dalam sekurang-kurangnya tiga kejadian melibatkan 30 hingga 40 mangsa termasuk beberapa kematian.
Israel sebelum ini berulang kali menegaskan kehadiran pasukannya di sekitar pusat bantuan adalah bagi mengelakkan bantuan jatuh ke tangan Hamas.
Seorang pegawai kanan PBB berkata, majoriti mangsa yang terbunuh adalah mereka yang berusaha mendapatkan bantuan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
GHF mula mengagihkan pek makanan di Gaza pada akhir Mei, menguruskan model penghantaran baharu yang menurut PBB tidak bersifat berkecuali mahupun adil.










