KUALA LUMPUR: Himpunan demonstrasi jalan raya hari ini susulan kontroversi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menuntut tiga perkara.
Antaranya ialah menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ditangkap serta-merta, melalui proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
Perkara itu dimaklumkan ketika sekumpulan terdiri daripada anak muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik duduk berkumpul di pekarangan jalan raya Brickfields selepas berarak daripada pekarangan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Bangsar.
Para peserta turut sama melaungkan slogan ‘Tangkap Azam Baki’ dan membawa kain rentang yang turut sama tertera slogan Tangkap Azam Baki dan imej Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Demonstarsi jalan raya itu masih terkawal dengan para peserta berarak kembali ke pekarangan stesen LRT Bangsar dan semua peserta akhirnya bersurai tanpa sebarang provokasi kira-kira pukul 12.45 petang. – UTUSAN










