PETALING JAYA: Penyanyi, Zehra Zamri berpendapat hiburan tidak salah diadakan pada majlis konvokesyen universiti tetapi pelaksanaannya perlu mengikut kesesuaian dan tidak keterlaluan.
Zehra, 39, berkata, persembahan hiburan boleh dijadikan acara selingan untuk memeriahkan majlis, asalkan tidak mengabaikan etika dan adab yang perlu dijaga sepanjang majlis berlangsung.
“Sekarang ini sudah jadi isu tentang hiburan ala konsert pada majlıs konvokesyen universiti. Pandangan saya ia harus dilihat secara menyeluruh.
“Hiburan itu tidak salah cuma ia perlu dilaksanakan dengan beretika dan tidak mengabaikan aspek kesesuaian dan adab. Perlu ada hiburan selingan tapi haruslah tidak keterlaluan,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Mengulas lanjut, Zehra berpendapat, lagu yang dipilih untuk persembahan pada majlis berkenaan sebaiknya mempunyai unsur seni budaya tempatan atau nilai patriotik.
Katanya, pemilihan lagu sedemikian lebih sesuai dengan suasana majlis konvokesyen yang turut menjadi acara meraikan kejayaan para graduan.
“Lebih molek jika lagu yang dipersembahkan melambangkan seni budaya atau mempunyai nilai patriotik,” katanya.
Dalam hantaran Threads berkenaan, Zehra turut berkongsi gambarnya apabila pernah diundang membuat persembahan pada majlis konvokesyennya sendiri pada 2013 dahulu. – UTUSAN










