Tahun Baharu Cina: P. Pinang jangka peningkatan 50,000 kenderaan sehari - Utusan Malaysia

Tahun Baharu Cina: P. Pinang jangka peningkatan 50,000 kenderaan sehari

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya kepada orang ramai dalam majlis pelancaran Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Pasar Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang hari ini. -UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jumlah kenderaan yang memasuki Pulau Pinang dijangka meningkat sehingga lebih 50,000 sehari sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut 1 Februari ini. 

Sehubungan itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pemandu dinasihatkan sentiasa berhati-hati di jalan raya dan memandu dalam keadaan yang berhemah ketika cuti musim perayaan itu. 

“Selain warga Pulau Pinang yang pulang ke negeri ini untuk menyambut Tahun Baharu Cina, kita jangka ada juga yang akan datang bercuti ke sini,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Pasar Jalan Perak, di sini hari ini. 

Op Selamat 17  dilaksanakan bermula hari ini hingga 6 Februari selama 10 hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’. 

Menurut Mohd. Shuhaily, polis turut menjangka kesesakan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini sepanjang cuti Tahun Baharu Cina itu. 

“Jalan yang dikenal pasti berlaku kepadatan kenderaan dan juga ‘hotspot’ kes kemalangan adalah Jalan Teluk Air Tawar – Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara) dan Jalan Perusahaan Perai – Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah). 

“Selain itu, lokasi lain ialah Jalan Besar Simpang Empat (KM12-KM32), Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu/ Jalan Ayer Itam; Jalan Ayer Itam – Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah serta  Jalan Tun Dr. Awang,” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, seramai 110 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam Op Selamat kali ini. 

“Di samping itu, JSPT turut bekerjasama dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah,” katanya. 

Tambahnya, bagi yang merancang bercuti dan meninggalkan rumah dalam tempoh panjang dinasihatkan mengunci rumah dengan rapi dan memastikan lampu atau kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa dipasang untuk mengelak menjadi sasaran jenayah. 

“Mereka juga boleh memaklumkan kepada balai polis terdekat tentang ketiadaan penghuni di rumah masing-masing bagi memudahkan polis menjalankan rondaan dan pemeriksaan secara berkala,” katanya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya