Kerajaan jamin subsidi tidak bocor kepada pemegang kad UNHCR

Kerajaan jamin subsidi tidak bocor kepada pemegang kad UNHCR

FUZIAH Salleh (kiri) menunjukkan tanda harga ayam pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Raya Pantai Selamat di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) belum  menerima sebarang laporan atau aduan berhubung ketirisan subsidi kerajaan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), termasuk komuniti Rohingya.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, mekanisme sedia ada yang menggunakan kad pengenalan (MyKad) bagi pembelian barangan bersubsidi berjaya memastikan hanya rakyat negara ini yang layak menikmati kemudahan tersebut.

Katanya, sistem seperti Program Budi Madani bagi subsidi diesel dan pembelian minyak masak paket menerusi sistem eCOSS memerlukan pengesahan menggunakan MyKad sekali gus menutup ruang ketirisan kepada warga asing.

“Kad UNHCR bukan kad pengenalan dan tidak boleh digunakan untuk mengakses subsidi kerajaan. Maklum balas yang kita terima menunjukkan minyak masak paket mudah diperoleh oleh rakyat kerana sistem sedia ada berjaya menghalang ketirisan kepada pihak yang tidak layak,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sempena pembukaan baharu Pasar Raya Pantai Selamat. di sini hari ini.

Mengulas dakwaan penglibatan warga Rohingya dalam perniagaan runcit, Fuziah berkata, hanya warganegara Malaysia dibenarkan mendaftarkan syarikat dan memperoleh lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta permit berkaitan barangan kawalan.

Katanya, warga asing juga tidak dibenarkan bertugas di kaunter hadapan sebagai juruwang, sebaliknya hanya boleh menjalankan tugas tertentu yang dibenarkan seperti mengurus stor atau stok barang.

“Jika terdapat warga asing yang menjalankan perniagaan atau melanggar syarat pekerjaan yang ditetapkan, orang ramai boleh membuat laporan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas tentang PJRM, beliau berkata, sejak 1 Januari sehingga 13 Jun lalu, sebanyak 13,692 siri sudah dilaksanakan di seluruh negara termasuk 974 siri di negeri ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN