Imran Aqil sanggup jaga anak waktu malam demi tidur Dahlia cukup - Utusan Malaysia

Imran Aqil sanggup jaga anak waktu malam demi tidur Dahlia cukup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sifat perihatin suami terhadap isteri yang kepenatan menguruskan anak mendorong pelakon Imran Aqil mengambil alih tanggungjawab menjaga anak sulungnya itu pada waktu malam.

Tindakan Imran atau Mohammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 27, yang sanggup beralih tempat tidur itu sebenarnya bagi memastikan isterinya, Dahlia Rizal dapat memperoleh rehat yang cukup.

Menurut satu hantaran daripada isterinya itu, Dahlia, dia mengakui pada mulanya menyangka fasa mencabar itu perlu dilalui seorang diri sebelum dibantu oleh suami.

“Anak perempuan kami yang kini berusia setahun sebulan masih kerap terjaga beberapa kali pada waktu tengah malam untuk menyusu. Sebelum ini, saya menyangka terpaksa melaluinya seorang diri, namun saya bertuah kerana dikurniakan suami yang sangat memahami.

“Dia sanggup tidur bersama anak di tingkat bawah atau di mana-mana sahaja. Ini membolehkan saya mendapatkan tidur yang berkualiti serta mencukupi melebihi lapan jam,” katanya.

Ujarnya, sebagai ibu, dia memiliki naluri yang sangat sensitif terhadap sebarang perubahan atau bunyi dari anaknya ketika sedang tidur.

“Suami saya sebenarnya tahu dia tetap boleh membantu walaupun kami tidur bersama-sama di dalam bilik yang sama. Bagaimanapun, saya akan tetap terjaga setiap kali anak menangis atau bergerak.

“Oleh itu, keputusan untuk tidur secara berasingan adalah pilihan terbaik buat kami buat masa ini. Terima kasih banyak-banyak buat suamiku,” katanya.

Untuk rekod, Imran dan Dahlia mendirikan rumah tangga pada 9 September 2023 dalam sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Ayer Keroh, Melaka.

Hasil perkongsian hidup pasangan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Yusra yang dilahirkan pada Mei tahun lalu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN