TANGGAPAN bahawa memeluk Islam akan menyebabkan seseorang kehilangan identiti dan jati diri sendiri pernah menjadi antara kebimbangan utama dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Namun, melalui pendekatan dakwah yang berhemah, berterusan dan menekankan aspek kefahaman, semakin ramai masyarakat Orang Asli menerima Islam serta mengamalkan ajaran agama itu dalam kehidupan seharian.
Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Jabatan Agama Islam di Kampar, Perak, Mohd. Shahrul Firdaus Abdullah, 77, berkata, antara cabaran utama dalam usaha dakwah adalah memperbetulkan salah faham bahawa memeluk Islam bermaksud menjadi orang Melayu.
Katanya, kefahaman tepat mengenai Islam akhirnya membuka hati ramai masyarakat Orang Asli untuk mengucap dua kalimah syahadah dan kembali kepada agama fitrah.
“Selepas diberikan penerangan yang mendalam, mereka mula memahami bahawa Islam adalah agama yang bersifat sejagat dan tidak menghapuskan asal-usul seseorang,” katanya ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sungai Gapes, Sungai Siput Selatan dekat Kampar.
Mohd. Shahrul berkata, beliau turun ke kampung-kampung Orang Asli setiap minggu bagi mengendalikan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan.
Katanya, antara pengisian yang diberikan termasuk pengajian tauhid, tasawuf, hadis, fardu ain, al-Quran dan muqaddam, bahasa Arab, akhlak serta hafazan surah-surah pilihan.
“Selain kelas agama, kami turut mengadakan program motivasi dan pembangunan diri yang diselitkan dengan elemen dakwah bagi menarik minat masyarakat Orang Asli mendekati Islam.
“Pendedahan kepada kisah kejayaan masyarakat Orang Asli dalam kerjaya dan pelbagai bidang juga menjadi antara kaedah terbaik untuk membina keyakinan mereka terhadap masa depan,” katanya.
Menurut beliau, hasil pendekatan tersebut, ramai dalam kalangan masyarakat Orang Asli bukan sahaja memeluk Islam, malah mengamalkan tuntutan agama seperti menunaikan solat lima waktu dan berdoa kepada Allah SWT.
Malah, ada yang memilih menukar nama kepada Abdullah sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran selepas memeluk Islam.
“Alhamdulillah, mereka semakin memahami Islam. Apabila mereka menadah tangan berdoa kepada Allah SWT dan merasai ketenangan jiwa, perkara itu sendiri menjadi tarikan kepada masyarakat
Orang Asli lain untuk mengenali Islam dengan lebih dekat,” katanya.
Mohd. Shahrul yang turut menjadi penyelia bagi beberapa perkampungan Orang Asli termasuk Kampung Orang Asli Sungai Peria dan Kampung Orang Asli Sahom berkata, fokus utamanya adalah pengurusan hal ehwal mualaf Orang Asli.
Beliau berharap usaha dakwah yang dilaksanakan secara berterusan dapat memperkukuhkan kefahaman agama dalam kalangan Orang Asli sekali gus melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Keikhlasan dalam menyampaikan dakwah menjadi pegangan utama bagi Mohd. Shahrul Firdaus yang giat menjalankan usaha memperkenalkan serta mengukuhkan kefahaman Islam dalam kalangan Orang Asli suku Semai.
Katanya, beliau bertanggungjawab mengajar ilmu agama kepada Orang Asli mualaf yang berusia antara 19 hingga 40 tahun menerusi kelas yang diadakan secara berkala. Antara pengisian yang diberikan termasuk asas akidah, ibadah, bacaan al-Quran serta pemahaman mengenai cara hidup sebagai seorang Muslim.
“Saya berdakwah dengan ikhlas kerana Allah dan berasa gembira apabila melihat saudara baharu begitu teruja untuk belajar mengenai Islam,” katanya.
Beliau berkata, semangat yang ditunjukkan oleh para mualaf menjadi sumber inspirasi untuknya terus memperkukuhkan usaha dakwah dalam komuniti tersebut.
“Mereka menunjukkan minat untuk mendalami ilmu Islam walaupun berdepan pelbagai cabaran,” ujarnya. –UTUSAN









