GEORGETOWN: Pihak berkuasa agama digesa menyiasat segera video tular di dalam media sosial mengenai ajaran tasawuf ekstrem yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah-langkah segera bagi mencegah ajaran tasawuf yang menyesatkan itu daripada disebarkan di negara ini.
“Langkah ini perlu diambil segera supaya akidah umat Islam di negara ini yang berlandaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah akan terus terpelihara.
“Aliran pemikiran sebegini mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat.
“Ia seterusnya memperleceh syariah dan para ulama syariah dengan dakwaan palsu kononnya ulama syariah mengubah ajaran agama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai video seorang individu mengenai pelaksanaan solat yang didakwa sebagai menyimpang daripada ajaran Islam yang mula tular sejak semalam.
Individu berkenaan dikatakan kini berada di Sabah dan warga maya yang meninggalkan komen pada video berkenaan turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kepada individu berkenaan.
Menurut Wan Salim, pemikiran tasawuf yang melampau itu jika diperhalusi didapati berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat-sahabat yang lain.
“Ini adalah satu tohmahan karut terhadap Nabi Muhammad SAW bahawa baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan Allah SWT untuk disampaikan.
“Sedangkan umat Islam diajar untuk mempercayai antara sifat yang wajib bagi seorang rasul ialah amanah dan tabligh iaitu menyampaikan perintah Allah SWT kepada umatnya dengan sempurna,” katanya.
Tambah beliau, selain itu adalah jelas ajaran yang memecahkan agama Islam kepada zahir dan batin atau syariat dan hakikat adalah merupakan sejenis penyelewengan yang mampu menggugat akidah seseorang muslim.










