ISKANDAR PUTERI: Seramai 200 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 15 tahun di sekitar kawasan ini dikhatan beramai-ramai menerusi Program Sunathon Hero Iskandar Puteri 2.0 yang berlangsung di Dewan Taman Pulai Utama, di sini hari ini.
Pengarah Program, Azizah Nasabu berkata, program berkenaan merupakan salah satu daripada program anjuran Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) baik menyantuni masyarakat setempat.
Katanya, selain membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, program tradisi itu secara tidak langsung memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak yang diraikan.
“YPIP sentiasa komited dalam memperkasa kebajikan masyarakat melalui pelbagai program berbentuk kemasyarakatan, pendidikan, pembangunan belia serta penyampaian bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Antara fokus utama yayasan adalah membantu memperkukuh pembangunan pendidikan anak-anak selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti di Iskandar Puteri,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Hadir menyempurnakan program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad.
Azizah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPIP turut memberitahu, setiap peserta program turut menerima tajaan akaun Simpanan Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bernilai RM50 sebagai galakan memupuk budaya menabung sejak usia muda.
Pada masa yang sama, Lembaga Tabung Haji turut menaja pembukaan akaun Tabung Haji kepada semua peserta.










