Sepanyol pasukan terbaik dunia- De la Fuente

Sepanyol pasukan terbaik dunia- De la Fuente

DE la Fuente bercakap degan pemain selepas mengesahkan kemaraan ke final Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALLAS: Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente menganggap pasukannya berjaya menghidupkan semula semangat menjulang Piala Dunia 2010 selepas menewaskan Perancis 2-0 untuk mara ke final.

Sepanyol yang memenangi Piala Dunia pertama mereka 16 tahun lalu berjaya mematikan jentera serangan Perancis yang sudah mengumpul 16 gol sebelum perlawanan separuh akhir dan dianggap antara pasukan paling berbahaya dalam kejohanan itu.

“Kami berdepan salah satu pasukan terbaik dunia, tetapi mereka juga berdepan pasukan terbaik dunia. Pemain menunjukkan komitmen, semangat berpasukan dan bakat.

“Mereka menjadikan sesuatu yang sukar kelihatan mudah. Mereka memiliki bakat serta sikap yang betul dalam kehidupan dan sukan. Saya melihat bilik persalinan yang penuh kegembiraan dan seluruh negara berada di belakang kami.

“Kami mengembalikan semula semangat 2010. Karakter pasukan ini jelas apabila pemain yang tidak diturunkan masih kekal menjalani latihan selepas perlawanan,” katanya selepas perlawanan.

De la Fuente memuji skuadnya yang dianggap dibina atas asas sifat rendah diri, matlamat bersama dan tanpa sebarang ego, sambil menegaskan kekuatan Sepanyol hadir apabila semua individu bergerak ke arah yang sama.

“Saya percaya perkara paling penting adalah mengetahui siapa rakan seperjuangan anda. Jika anda membuat pilihan yang salah, anda mungkin akan berdepan masalah,” katanya.

“Kami tahu pasukan ini, bukan sahaja pemain, malah semua yang membentuk skuad bekerja ke arah matlamat yang sama, dengan semangat yang sama. Kami sentiasa mengutamakan kepentingan bersama berbanding kepentingan peribadi.”

Sepanyol, yang muncul juara Euro 2024, kini menyamai rekod Itali dengan 37 perlawanan berturut-turut tanpa kalah, namun De la Fuente berkata, pasukannya masih mempunyai banyak ruang untuk berkembang.

“Pasukan ini tidak pernah berhenti mengejutkan saya. Ruang untuk penambahbaikan tiada penghujungnya. Ia adalah hasil usaha yang dilakukan dengan penuh kecintaan. Matlamatnya adalah memastikan kami tiba pada detik paling penting dalam keadaan terbaik,” katanya.

De la Fuente berkata beliau mahu berdepan Argentina pada aksi final kerana hubungan rapatnya dengan pengendali pasukan itu, Lionel Scaloni, sambil memuji England dan menyifatkan satu lagi aksi separuh akhir itu sebagai perlawanan yang ‘boleh dianggap sebagai final Piala Dunia’.

“Saya tidak percaya dengan tanggapan bahawa final hanya untuk dimenangi. Final adalah untuk dinikmati. Apa yang bakal datang mungkin menjadi pelengkap terbaik kepada segala usaha kami,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN