BEIRUT: Pihak berkuasa Lubnan pada Isnin memaklumkan mereka telah menahan seorang komander warga Syria daripada kumpulan Daesh.
Tangkapam itu dibuat ketika Damsyik sedang menyiasat satu sel yang dikaitkan dengan Daesh dan didakwa bertanggungjawab terhadap kejadian letupan semasa lawatan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Syria.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Lubnan berkata, suspek ditahan selepas operasi pemantauan dan susulan yang teliti pada 30 Jun.
Ia mendakwa lelaki itu merupakan ketua kumpulan berkenaan di kawasan tengah serta selatan Syria.
Pengumuman tersebut dibuat hampir seminggu selepas dua letupan menggegarkan Damsyik ketika Macron melakukan lawatan ke Syria, mengorbankan seorang individu dan mencederakan puluhan yang lain berhampiran hotel tempat pemimpin Perancis itu menginap.
Pihak berkuasa Syria pada Khamis berkata, siasatan awal menunjukkan kumpulan Daesh berada di sebalik serangan tersebut.
Pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri Syria menyiarkan nama tiga lelaki yang telah disoal siasat dan mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap letupan berkenaan.
Walaupun penguasaan Daesh ke atas wilayah yang pernah dituntutnya di Syria berakhir pada 2019, kumpulan itu masih aktif menerusi beberapa sel di seluruh negara.
Dalam pada itu, di Lubnan, kumpulan-kumpulan ekstremis Sunni yang pernah mengisytiharkan taat setia kepada Daesh terlibat dalam beberapa pertempuran dengan tentera negara itu pada dekad 2010-an dan melancarkan beberapa siri serangan bom yang meragut nyawa dengan menyasarkan kumpulan bersenjata Hizbullah dan para penyokongnya.
Namun, kumpulan-kumpulan itu sebahagian besarnya telah ditewaskan menerusi operasi ketenteraan pada 2017.
Tahun lalu, tentera Lubnan memaklumkan bahawa mereka telah menahan individu yang disyaki sebagai ketua kumpulan Daesh di negara itu, dan mengaitkannya dengan perancangan beberapa operasi.
Lubnan dan Syria berkongsi sempadan sepanjang 330 kilometer yang terkenal sebagai laluan penyeludupan manusia dan barangan. – AFP










