PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO menuntut disegerakan agenda pembaharuan institusi dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.
Ketua Pergerakannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki berkata, agenda itu berikutan hasil siasatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.
Malah katanya, kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan Ketua Pesuruhjaya itu pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.
“Dengan perkembangan terbaharu ini, Pergerakan Pemuda UMNO menuntut disegerakan agenda pembaharuan itu. Pembaharuan ini antara lainnya memberikan kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci due deligence dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.
“Ini juga bagi mengelakkan wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Baru-baru ini, kencang bertiup khabar angin mengenai Azam yang didakwa menyeleweng duit kerana terdapat pemilikan saham di beberapa buah syarikat di bawah nama beliau.
Kelmarin, Azam pada sidang akhbar khas tampil menjelaskan bahawa saham bernilai jutaan ringgit atas namanya didakwa dibeli adiknya, Nasir Baki tetapi menggunakan akaunnya.
Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memaklumkan, perkara tersebut tidak harus menjadi isu kerana menurutnya sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka kerana ia bukan kesalahan untuk berbuat demikian.
Media sebelum ini juga melaporkan, LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung skandal yang didedahkan meskipun penjelasan itu sekadar menyalahkan adik beliau semata-mata.
Menurut Asyraf Wajdi, dengan pembaruan institusi itu juga bermakna perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik.
“Ini sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terdahulu apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya juga pernah dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya selepas Perdana Menteri kelapan daripada PH mengambil alih kerajaan.
“Justeru, Pemuda UMNO berpandangan hanya dengan menyegerakan agenda pembaharuan institusi, meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat serta persepsi pelabur pada negara.” jelasnya.










