SHAH ALAM: Dikelilingi kehijauan landskap padang golf dan panorama tasik yang menenangkan, Hilton Shah Alam Glenmarie kini tampil dengan wajah baharu sebagai destinasi penginapan berinspirasikan resort di tengah Lembah Klang.
Hotel yang sekian lama dikenali sebagai lokasi persidangan, golf dan penginapan hujung minggu, diperkenalkan semula di bawah pengurusan Hilton dengan konsep hotel perniagaan berteraskan gaya resort penuh, menawarkan suasana lebih santai tanpa mengabaikan keperluan korporat dan gaya hidup moden.
Pengurus Besar Hilton Shah Alam Glenmarie, Linda Reddy berkata, pihaknya mahu membawa semula pengalaman hospitaliti ikonik Hilton ke Shah Alam menerusi suasana yang lebih segar, mesra dan menenangkan.
“Hilton Shah Alam Glenmarie direka sebagai ruang untuk tetamu berhenti seketika tanpa perlu meninggalkan kota, dengan suasana yang terbuka, tenang dan mudah dinikmati.
“Sejak beberapa bulan lalu, kami melakukan kerja naik taraf secara teliti di beberapa bahagian hotel termasuk bilik penginapan, ruang mesyuarat dan acara serta kawasan rekreasi,” katanya ketika sesi memperkenalkan hotel itu di sini, hari ini.
Menurutnya, antara pembaharuan yang dilakukan termasuk pembinaan kolam renang baharu, ruang acara moden serta suasana keseluruhan hotel yang lebih santai dan terbuka.
“Kedudukan hotel ini yang bersebelahan padang golf kejohanan sememangnya memberikan suasana tenang dan nyaman kepada para tetamu, namun pada masa sama masih kekal terhubung sama ada mereka berada di sini atas urusan perniagaan, acara ataupun percutian,” katanya.
Linda berkata, sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula, hotel itu turut memperkenalkan beberapa pengalaman gastronomi baharu yang mengetengahkan gabungan cita rasa tempatan dan antarabangsa.
“Di Malaysia, makanan bukan sekadar makanan, ia adalah satu pengalaman menyeluruh. Perkara itu sangat selari dengan Hilton dan keupayaan kami memberikan pengalaman holistik kepada para tetamu,” katanya.
Menurutnya, antara tarikan baharu ialah restoran santapan sepanjang hari, Gingerfire, yang mengetengahkan masakan tempatan dengan sentuhan moden dalam suasana santai menghadap kolam renang.
“Kami juga mempunyai restoran Jepun, Fūrin yang menggabungkan pengaruh Jepun serta bahan dan cita rasa tempatan Malaysia,” katanya.
Hilton Shah Alam Glenmarie menawarkan sebanyak 261 bilik dan suite termasuk Premium Executive berkonsep dupleks dengan balkoni peribadi bagi memberikan lebih fleksibiliti, keselesaan dan privasi kepada tetamu.
Hotel itu turut dilengkapi lebih 2,800 meter persegi ruang mesyuarat dan acara merangkumi 29 ruang serba guna termasuk Cullinan Event Hall yang direka dengan pencahayaan semula jadi untuk pelbagai acara korporat dan sosial.
“Bagi kemudahan riadah, tetamu boleh menikmati kolam renang bersama jacuzzi dan taman permainan kanak-kanak.
“Dalam masa sama, tetamu juga boleh mengakses Glenmarie Golf and Country Club yang menawarkan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi termasuk padang golf, gelanggang tenis, bilik zumba dan kolam renang bersaiz olimpik,” katanya.-UTUSAN










