PETALING JAYA: Perdebatan terkini dalam industri automotif di Thailand wajar diberi perhatian serius oleh Malaysia kerana ia mendedahkan suatu masalah asas terhadap dasar pertumbuhan kenderaan elektrik (EV).
Dalam surat kepada editor yang ditulis Rozannah Jeffrey disiarkan sebuah portal, wanita itu berkongsikan bahawa kini, 10 kumpulan automotif di Thailand yang mewakili lebih 1,500 perniagaan kini mendesak perlindungan lebih ketat terhadap kenderaan EV yang diimport sepenuhnya.
Katanya, cadangan diberikan termasuklah cukai eksais sebanyak 32 peratus ke atas EV import selain kuota import dan syarat kandungan tempatan yang lebih ketat.
“Aduan mereka mudah difahami iaitu import EV China yang lebih murah sedang menghakis pengeluaran tempatan dan mengurangkan tempahan kepada pengeluar alat ganti Thailand.
“Mereka juga mendakwa kos menghasilkan kenderaan di Thailand adalah sekitar 30 hingga 40 peratus lebih mahal berbanding mengimportnya dari China,” katanya dalam penulisannya itu.
Menurutnya lagi, isu itu sangat penting memandangkan Thailand bukanlah kuasa ekonomi automotif yang lemah bahkan ia merupakan satu daripada pusat pengeluaran utama di Asia Tenggara.
Tambahnya, jika kumpulan industri di Thailand sendiri sudah memberi amaran bahawa pertumbuhan EV yang dipacu oleh kereta import boleh melemahkan sektor pembuatan domestik, Malaysia sepatutnya melihatnya sebagai isyarat serius dan bukannya aduan terpencil.
“Logik di sebalik syarat-syarat itu tidak sukar difahami. Jika Malaysia mahu memberi sokongan dasar, kelebihan cukai atau akses pasaran, negara sepatutnya menuntut lebih daripada sekadar jualan domestik.
“Malaysia perlu menuntut lokaliti industri, eksport, pembangunan vendor dan kedalaman pembuatan sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut, Rozannah berkata, pemain industri di Thailand bukan mengatakan EV itu buruk namun menegaskan bahawa dasar nasional tidak sepatutnya menjadikan pemasangan dan pengeluar alat ganti tempatan semakin lemah sementara kenderaan import menjadi lebih kompetitif.
Katanya, jejak serantau syarikat automotif EV, BYD menjadikan perkara itu lebih jelas apabila kilangnya di Thailand mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 150,000 unit manakala kilang BYD di Indonesia juga dirancang dengan kapasiti sama.
“Itu bukan pelaburan kecil sekadar simbolik. Ia menunjukkan di mana skala pengeluaran sebenar sedang dibina. Oleh itu, Malaysia mempunyai sebab kukuh untuk bertanya satu soalan mudah adakah kita ditawarkan peranan pengeluaran sebenar, atau sekadar peranan sebagai pasaran jualan.
“Di sinilah banyak yang keliru. EV murah tidak semestinya membawa hasil nasional yang lebih baik. Harga yang rendah memang boleh membantu kadar penggunaan, tetapi dasar perlu dinilai berdasarkan di mana nilai jangka panjang itu kekal.
“Jika ekosistem alat ganti semakin lemah, vendor tempatan kehilangan tempahan dan keupayaan pengeluaran terus berada di luar negara, maka negara hanya berjaya meningkatkan penggunaan tanpa memperkukuh industri,” katanya.
Jelasnya lagi, satu analogi yang sesuai ialah perbezaan antara pelabuhan dan gudang di mana kedua-duanya menggerakkan barangan, tetapi hanya satu benar-benar menjadi sebahagian daripada sistem perdagangan yang lebih besar.
Katanya, sesebuah negara boleh menjual banyak unit EV tanpa benar-benar menjadi sebahagian daripada rantaian pengeluaran sebenar.
“Sebab itu reaksi balas di Thailand penting. Ia menunjukkan masalah ini bukan bersifat peribadi dan bukan unik kepada Malaysia sahaja. Ia adalah isu serantau. Kerajaan di Asia Tenggara mula menyedari bahawa pertumbuhan EV semata-mata tidak mencukupi.
“Persoalan yang lebih mendalam ialah sama ada pertumbuhan itu membina keupayaan domestik atau sekadar memintasnya,” katanya.
Beliau justeru mengingatkan supaya Malaysia sepatutnya kekal terbuka kepada pelaburan EV asing tetapi keterbukaan itu mesti datang bersama syarat.
“Jika tidak, negara berisiko menjadi bilik pameran yang berjaya tanpa pernah menjadi pengeluar yang benar-benar serius,” katanya.-UTUSAN










