PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus komited memacu peralihan tenaga negara secara adil dan bertanggungjawab, sambil memastikan manfaat jangka panjang dapat dinikmati oleh pemegang saham, negara dan seluruh rakyat Malaysia.
Ketika Malaysia mempercepat usaha di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), TNB memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi negara menuju masa depan dengan tenaga rendah karbon yang lebih lestari, lagi inklusif.
Sepanjang 2025, TNB memperkukuh usaha integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan grid elektrik dan pengurusan karbon bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, sebagai syarikat utiliti utama negara, TNB memikul tanggungjawab besar dalam memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang, bertanggungjawab tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
“Fokus kami kekal dalam memastikan jaminan bekalan tenaga, mempercepat usaha peralihan tenaga dan memperkukuh daya tahan sistem grid elektrik negara, sambil terus mencipta nilai lestari untuk pemegang saham dan juga rakyat,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-36 di sini hari ini.
Sepanjang tahun ini, TNB komited melaksanakan pelbagai inisiatif selaras dengan NETR, termasuk pembangunan solar berskala besar, penyelesaian tenaga boleh baharu hibrid dan teknologi rendah karbon.
Antara pencapaian utama ialah pemeteraian perjanjian Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) berkapasiti 785-megawatt peak (MWp) bagi menyokong operasi pusat data menggunakan bekalan tenaga hijau.
Selain itu, TNB turut membangunkan projek solar terapung hibrid hidro di Kenyir, Terengganu, serta inisiatif hidrogen hijau di Stesen Janakuasa Jimah East, Negeri Sembilan. Langkah ini mengukuhkan kedudukan TNB dalam industri tenaga rendah karbon dan membantu usaha negara mengurangkan pelepasan karbon.
Pelaburan Besar Untuk Grid Masa Hadapan
Bagi memastikan bekalan elektrik terus terjamin dan boleh dipercayai, TNB melaburkan RM15.7 bilion untuk perbelanjaan modal pada tahun 2025, berbanding RM11.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, RM12 bilion diperuntukkan khusus untuk pemodenan grid negara.
Pelaburan ini penting bagi menyokong memastikan bekalan elektrik kekal stabil, menyokong integrasi tenaga boleh baharu, juga memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

“Pelaburan TNB dalam grid menjadi semakin penting dengan meningkatnya permintaan elektrik yang dipacu oleh pengelektrikan industri, pendigitalan, mobiliti elektrik dan pertumbuhan pusat data di Malaysia,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Pelaburan ini turut membantu meningkatkan tahap kepuasan pelanggan, dengan prestasi Sistem Minit direkodkan pada 0.15 minit, jauh lebih baik berbanding penanda aras global iaitu kurang 1.5 minit.
Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) juga bertambah baik iaitu 46.93 minit berbanding 47.88 minit pada 2024.
Fokus TNB dalam memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya diterjemahkan melalui Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) yang mencapai rekod tertinggi sebanyak 90 peratus pada 2025.
Pulangan Kepada Pemegang Saham Dan Rakyat
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, TNB mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.8 bilion.
Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan permintaan elektrik, kecekapan operasi dan kerangka kawal selia yang stabil.
Prestasi kukuh ini membolehkan TNB mengumumkan dividen keseluruhan sebanyak 53 sen sesaham bagi 2025 yang mana adalah kadar tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Jumlah keseluruhan pembayaran dividen adalah RM3.1 bilion, meningkat 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Manfaat ini sebenarnya kembali kepada rakyat kerana lebih 60 peratus saham TNB dimiliki oleh institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Persaraan dan Lembaga Tabung Haji.
“Agihan ini akhirnya memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan simpanan negara, jaminan persaraan dan kesejahteraan kewangan rakyat secara menyeluruh,” kata Abdul Razak.

Keuntungan Yang Turut Dinikmati Rakyat
Komitmen TNB dalam membangunkan negara bukan sekadar memberi pulangan kewangan. Syarikat menyalurkan pelaburan jangka panjang dalam manfaat yang bermakna untuk rakyat termasuk melalui program pendidikan, pembangunan komuniti dan kesejahteraan yang disasarkan.
Sepanjang 2025, TNB terus aktif membantu masyarakat melalui pelbagai program pendidikan, pembangunan komuniti, sukan, kebajikan dan penjagaan alam sekitar dengan jumlah sumbangan melebihi RM232.3 juta.
Selain itu, sebanyak RM11.9 juta zakat wakalah turut diagihkan kepada lebih 36,000 golongan asnaf di seluruh negara.
Bagi tempoh akan datang, TNB akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sistem grid negara, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, meningkatkan hubungan tenaga serantau serta menyokong pertumbuhan industri baharu termasuk ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Sebagai syarikat utiliti utama negara, TNB akan terus komited menyediakan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai demi kemajuan Malaysia dan kesejahteraan rakyat.
“TNB akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi menjayakan aspirasi peralihan tenaga negara, sambil memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan,” kata Abdul Razak. – UTUSAN










