IPOH: Raja bomoh atau Ibrahim Mat Zin berjanji tidak akan melakukan ritual yang bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengenai upacara perbomohan yang dilakukannya.
Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai fatwa itu selepas ditahan bersama sepupunya, Suliaha Abdul Hamid oleh Bahagian Penguatkuasa JAIPk semalam bagi memberi keterangan berhubung ritual tolak banjir yang mereka lakukan di Dataran JPS, Teluk Intan pada Selasa lalu.
Katanya, sebelum ini beliau tidak mengetahui ada fatwa dikeluarkan mengenai amalan bomoh yang dilakukannya.
“Saya baru dapat tahu undang-undang ini (fatwa), apabila saya dapat tahu mengenainya saya akan mematuhinya, saya akan ikut fatwa-fatwa yang diberikan oleh JAIPk. Saya bersyukur kerana fatwa-fatwa ini, kerana selama ini saya tidak tahu, (jadi) akan datang ini saya tidak akan buat yang tidak baik.
“Saya ucap terima kasih kepada JAIPk kerana berbincang dengan saya dan memberi kesedaran kepada saya.
“(Sebelum ini) saya sebenarnya hanya berjanji dengan Jabatan Agama Islam Wilayah semasa Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi mufti, saya tidak benarkan buat ‘show‘ (upacara perbomohan).
“Jadi saya harap bomoh, pengamal perubatan tradisional dan orang ramai jangan langgar fatwa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Ibrahim Mat Zin dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan selepas prosiding dakwaan melakukan ritual tolak banjir pada Selasa lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.
Kelmarin, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, kerajaan negeri telah mewartakan fatwa mengenai pengharaman upacara bomoh yang dilakukan Ibrahim pada tahun 2015 di bawah Seksyen 36 dan Seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Fatwa yang diwartakan menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan oleh Ibrahim menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dia ditahan oleh anggota Bahagian Penguatkuasa JAIPk yang datang ke rumahnya di sini pada pukul 3.45 petang semalam.
Menurutnya, dia dan sepupunya itu memberi keterangan mulai 9 malam hingga 3 pagi sebelum seterusnya ditahan di pejabat Bahagian Penguatkuasa JAIPk.
“Kami memberikan kerjasama yang baik. Saya mengucapkan terima kasih kepada JAIPk kerana layanan yang baik terhadap kami, mereka tak ada kasar, tiada apa-apa dan orang ramai jangan tersilap, kami ditahan mengikut undang-undang,” katanya.
Mengenai saman RM300 juta terhadap jabatan yang mendakwa beliau melakukan perbuatan syirik dan khurafat, Ibrahim berkata, beliau akan meneruskan tindakan itu.
“Ada jabatan-jabatan yang berkenaan yang mengatakan saya tak sihat, saman itu kerana menjatuhkan maruah saya sebagai raja bomoh. Jabatan mana, itu saya belum mahu beritahu,” katanya.










