Kuasa asing tidak berhak tentukan nasib Taiwan 

Kuasa asing tidak berhak tentukan nasib Taiwan 

LAI CHING-TE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPEI: Presiden Taiwan, Lai Ching-te menegaskan ‘kuasa asing’ tidak boleh menentukan masa depan pulau itu, yang bergantung kepada sokongan keselamatan Amerika Syarikat (AS) bagi menghalang kemungkinan serangan China.

Kenyataan Ching-te dibuat beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump mencadangkan penjualan senjata kepada Taiwan boleh dijadikan sebagai alat tawar-menawar dengan China, yang mendakwa pulau itu sebahagian daripada wilayahnya serta tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menguasainya semula.

“Masa depan Taiwan tidak boleh ditentukan oleh kuasa asing dan juga tidak boleh dijadikan tebusan oleh ketakutan, perpecahan atau kepentingan jangka pendek,” katanya dalam ucapan sempena ulang tahun kedua pemerintahannya pada Rabu.

Kenyataan Trump dalam temu bual dengan Fox News di atas pesawat Air Force One dibuat susulan lawatan negara ke Beijing minggu lalu, di mana Presiden China, Xi Jinping mendesak pemimpin AS itu agar tidak menyokong Taiwan.

Sejak itu, kerajaan Ching-te mengambil pendirian lebih keras, dengan menegaskan dasar AS terhadap Taiwan tidak berubah dan Trump tidak membuat sebarang komitmen kepada China mengenai penjualan senjata ke pulau itu.

Taiwan berkata, China merupakan ‘punca utama’ ketidakstabilan serantau, sambil menegaskan penjualan senjata AS kepada pulau itu adalah komitmen undang-undang bagi mempertahankan demokrasi.

Dalam ucapannya semalam, Ching-te berkata, kerajaannya sedang meningkatkan perbelanjaan pertahanan bagi ‘mengelakkan perang’, bukan mencetuskannya, sambil mendakwa ancaman kini semakin besar berbanding sebelum ini.

“Taiwan mesti mempunyai keupayaan untuk mempertahankan diri serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan,” katanya kepada pemberita.

Sejak Trump memegang jawatan, Taiwan berdepan peningkatan tekanan untuk menambah perbelanjaan keselamatan serta meningkatkan pelaburan di AS.

Walaupun Taiwan melabur berbilion dolar dalam pemodenan ketenteraan dan pembangunan industri pertahanan domestik, ia masih bergantung kepada penjualan senjata berteknologi tinggi dari AS yang diperlukan sekiranya berlaku konflik dengan China.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN