Tony Pua jahil sejarah perundangan, buta kuasa berdaulat Raja Melayu

Tony Pua jahil sejarah perundangan, buta kuasa berdaulat Raja Melayu

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua berhubung titah diraja disifatkan sebagai jahil terhadap sejarah perundangan negara selain buta terhadap konsep kuasa berdaulat Raja-Raja Melayu yang masih terpelihara dalam sistem Perlembagaan Malaysia.

Pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia jelas satu pandangan yang sempit apabila menyifatkan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mengehadkan kuasa raja hanya kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam, pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu perlu memahami bahawa Perkara 38(4) dan 159(5) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan titah perkenan Raja-Raja Melayu bagi penggubalan sebahagian besar peruntukan Perlembagaan.

Katanya, titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan dalam isu berkaitan Perlembagaan tidak boleh dilihat secara terbatas hanya berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan semata-mata.

“Prerogatif dan kewajipan YDPA serta Sultan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan perlu dilihat melalui amalan pembukaan Parlimen dan DUN yang dimulakan dengan titah diraja sebelum dibahaskan sebagai panduan kepada ahli legislatif menggubal serta menyemak dasar baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tony Pua yang mendakwa rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat.

Wan Ahmad Fauzi berkata, kenyataan itu bukan sahaja biadab malah memperlihatkan kejahilan terhadap prinsip undang-undang dan sejarah perundangan tanah air.

Mengulas isu titah Sultan Selangor berhubung industri penternakan babi di negeri itu, beliau berkata, titah tersebut selari dengan tanggungjawab baginda sebagai Ketua Agama Islam dan ketua negeri dalam menjaga kerukunan hubungan antara penganut agama.

Katanya, titah berkenaan juga tidak menafikan hak bukan Islam untuk mendapatkan bekalan makanan berasaskan babi kerana daging itu masih boleh diimport bagi memenuhi keperluan pengguna di Selangor.

“Pada hari ini umat Islam terdedah dengan pencemaran alam sekitar akibat penternakan babi selain aduan kandungan makanan yang secara halus mengandungi unsur babi.

“Justeru, titah Tuanku Sultan untuk menghentikan industri penternakan babi di Selangor dilihat sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa punca kuasa Perlembagaan Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan terletak pada Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, fungsi kuasa dan bidang kuasa yang ada pada Raja-Raja Melayu dilaksanakan menerusi badan legislatif, eksekutif dan kehakiman, sekali gus menjadikan pelaksana fungsi kuasa itu turut terikat dengan kewajipan diraja.

Beliau berkata, salah faham kononnya wujud pemisahan kuasa sepenuhnya antara raja dengan Menteri Besar atau ahli eksekutif lain berlaku akibat kegagalan memahami sistem Perlembagaan negara yang diwarisi daripada kedaulatan watan Negeri-Negeri Melayu, bukannya sistem Westminster.

“Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan atas kedaulatan Raja-Raja Melayu di setiap negeri Melayu sebelum berkembang menjadi Malaysia.

“Pulau Pinang dan Melaka pula ialah tanah jajahan British yang dimerdekakan untuk menyertai Persekutuan, begitu juga Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, semua rakyat yang diberi kerakyatan sebagai rakyat Raja Melayu dan kemudiannya dikenali sebagai warganegara Persekutuan perlu sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan, keluhuran Perlembagaan dan beradab ketika membicarakan kedudukan Raja-Raja Melayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN