PETALING JAYA: Jawatan Pendakwa Raya perlu diwujudkan secara khusus dan dilindungi Perlembagaan bagi memastikan proses pendakwaan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, cadangan itu penting kerana pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya berkesan sekiranya individu dilantik mempunyai kewibawaan tinggi serta dilindungi undang-undang daripada tekanan politik.
Katanya, kriteria pelantikan dan aspek keselamatan jawatan perlu ditetapkan dengan jelas supaya Pendakwa Raya tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya.
“Sebagai rujukan, kedudukan Ketua Hakim Negara dan Ketua Audit Negara yang dilindungi melalui Perkara 125 dan Perkara 105 Perlembagaan wajar dijadikan contoh.
“Ini bermakna jawatan Pendakwa Raya perlu diwujudkan secara khusus dalam Perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan pengasingan kuasa penuh membabitkan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Shamrahayu yang juga pakar Perlembagaan berkata, Perkara 105 yang memperuntukkan Ketua Audit Negara hanya boleh dipecat melalui prosedur sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan, juga boleh dijadikan asas bagi menjamin kebebasan jawatan Pendakwa Raya dalam pindaan Perlembagaan akan datang.
Katanya, pelantikan AG boleh terus dibuat oleh kerajaan kerana individu itu perlu mendapat kepercayaan kerajaan.
“Namun, bagi pelantikan Pendakwa Raya lebih sesuai jika melalui satu jawatankuasa atau suruhanjaya khas yang mencadangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, selain melibatkan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja seperti proses pelantikan hakim tertinggi,” katanya.
Shamrahayu berkata, berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, AG kini memegang dua kuasa serentak iaitu sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan serta Yang di-Pertuan Agong, pada masa sama bertindak sebagai Pendakwa Raya.
“Kedudukan ini menimbulkan dilema kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan dan kebebasan AG. Lebih membimbangkan apabila wujud persepsi bahawa pendakwaan dilakukan bagi pihak kerajaan dan tertakluk kepada telunjuk eksekutif,” katanya.
Shamrahayu berkata, AG boleh terus kekal sebagai penasihat undang-undang kerajaan sebagaimana diamalkan di beberapa negara lain.
“Namun, timbul persoalan sama ada beliau wajar kekal sebagai penasihat undang-undang Yang di-Pertuan Agong. Ada cadangan supaya Seri Paduka Baginda mempunyai penasihat undang-undang tersendiri yang bebas daripada kerajaan,” katanya.
Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pula berkata, kedudukan Pendakwa Raya yang dijamin bebas dan dilindungi Perlembagaan, diyakini mampu memperkukuh kebebasan sistem kehakiman negara.
Kata beliau, langkah itu penting bagi mengelak wujud pengaruh tidak wajar seperti sering dipersoalkan masyarakat apabila banyak kes digugurkan atas permintaan AG sehingga mencetuskan bantahan awam.
Katanya, pemisahan itu hanya akan bermakna sekiranya tiada lagi pihak yang boleh mengekang kebebasan Pendakwa Raya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










