PETALING JAYA: Hasrat peminat untuk menyaksikan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) kembali dipentaskan di Istana Budaya tidak menjadi kenyataan untuk tahun ini.
Ketua Unit Perhubungan Awam Istana Budaya, Muhammad Hafiizh Alias, 36, berkata, tiada sebarang permohonan oleh pihak produksi PGL bagi menggunakan fasiliti itu untuk pementasan berkenaan setakat ini.
“Pihak terlibat belum menghantar sebarang permohonan berhubung pementasan PGL di Istana Budaya dan sebenarnya program-program di sini juga sudah disusun lebih awal dan mendapat mandat untuk tahun ini.
“Mana-mana syarikat produksi perlu mengemukakan borang permohonan terlebih dahulu. Selepas itu, mereka perlu melalui sesi pembentangan cadangan dan penilaian sebelum keputusan dibuat.
“Jika sesuatu produksi sudah menerima surat kelulusan awal, ia agak sukar untuk dibatalkan kerana ia sudah melalui proses mandat pementasan. Segala keputusan bergantung kepada pengurusan tertinggi Istana Budaya dan Pejabat Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Hafiizh menjelaskan, operasi Istana Budaya kini dijalankan secara berfasa sebelum dibuka sepenuhnya kepada umum sebagai usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Istana Budaya dibuka secara berfasa terlebih dahulu bagi menyokong kempen TMM 2026. Pengunjung boleh hadir untuk menyaksikan persembahan serta aktiviti kebudayaan yang dianjurkan nanti.
“Selepas Hari Raya Aidilfitri tahun depan, Istana Budaya kemungkinan akan ditutup semula buat sementara waktu. Penutupan itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di bahagian atas pentas,” katanya.
Pementasan semula PGL dijadualkan berlangsung pada Oktober ini dan bakal menampilkan barisan pelakon generasi baharu bagi menghidupkan kembali kisah epik tersebut. – UTUSAN










