RM338.5 juta naik taraf Jambatan Marang, atasi kesesakan - Utusan Malaysia

RM338.5 juta naik taraf Jambatan Marang, atasi kesesakan

FADILLAH Yusof (kiri) dan Ahmad Samsuri Mokhtar melihat lokasi tapak projek naik taraf Jambatan Marang di Marang hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM338.5 juta bagi menaik taraf Jambatan Marang di sini yang telah berusia 62 tahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembangunan yang bermula 9 Disember 2021 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025 sekali gus meredakan kesesakan lalu lintas di bandar ini.

Katanya, kerja-kerja naik taraf itu melibatkan jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer dan dua jambatan yang diganti kepada empat lorong di samping pembinaan jejambat serta sistem perparitan.

“Bancian lalu lintas pada 2020 mendapati, sebanyak 31,387 kenderaan melalui Jambatan Marang dalam sehari.

“Bagaimanapun, struktur jambatan ini tidak lagi mampu menampung kenaikan beban trafik di masa depan yang melibatkan isu keselamatan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pecah tanah projek naik taraf Jambatan Marang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Fadillah berkata, projek penggantian jambatan itu sememangnya dinantikan rakyat Marang dan bakal memberi manfaat kepada penduduk.

Katanya, apabila siap kelak, projek itu dapat menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit pada waktu puncak berbanding sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kementeriannya memperuntukkan kira-kira RM971 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan di Terengganu pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan bagi projek fasa pra pembinaan manakala RM959 juta lagi di peringkat pembinaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.