PETALING JAYA: Institusi agama di negara ini disarankan mengubah pendekatan penyampaian dakwah agar lebih pantas, segar dan relevan dengan gaya hidup generasi muda masa kini bagi mendepani ancaman fahaman ekstremisme yang semakin menular di ruang digital.
Mufti Kerajaan Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, pihak berkuasa agama tidak boleh terus bersikap pasif dengan hanya bergantung kepada kaedah tradisional seperti menunggu masyarakat hadir ke masjid untuk mendapatkan pengisian ilmu.
Katanya, mesej Islam yang menekankan nilai keluhuran, kesederhanaan dan konsep wasatiyyah perlu diperluaskan menerusi platform digital yang menjadi pilihan golongan belia seperti TikTok, Instagram, YouTube serta podcast.
“Pendekatan baharu penting supaya institusi agama tidak ketinggalan dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sahih kepada kelompok muda yang banyak menghabiskan masa di alam maya.
“Ia tidak bermaksud kandungannya boleh dikosongkan daripada nilai ilmu yang sebenar, sebaliknya kandungan dakwah tetap perlu dipastikan ringkas tetapi berisi, dipakej secara kreatif dan disampaikan dengan tegas, namun disulami penuh hikmah,” katanya.
Penguasaan ini penting bagi memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan naratif songsang atau fahaman ekstrem yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui pelbagai medium media sosial.
Katanya, taktik licik golongan ekstremis ini bermula daripada cara berfikir yang mudah mengkafirkan, membenci pihak lain dan memanipulasi potongan ayat al-Quran atau hadis tanpa menghiraukan konteks sebenar disiplin ilmu tafsir.
Mohd. Sukki berkata, jika ruang penyampaian dakwah dibiarkan kosong oleh barisan ilmuwan, ia pasti akan diisi suara-suara ekstrem yang sama sekali tidak bertanggungjawab. – UTUSAN







