PETALING JAYA: Peserta yang pernah menyertai program eHati digesa wajib bertaubat segera kerana terlibat dalam aktiviti bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, program bertopengkan penyembuhan diri dan kelahiran semula, membawa ajaran sesat dan merosakkan akidah.
Ritual pelik seperti ‘mandi rebirth’ tidak pernah diajar dalam Islam kerana penyucian diri hanya berlaku melalui taubat, solat, zikir dan amal kebaikan.
“Islam melarang sebarang bentuk program yang bertentangan syariat, lebih-lebih lagi jika ia mengandungi ritual pelik, minuman mencurigakan dan aktiviti membuka aurat.
“Individu yang pernah terlibat dalam program sebegini wajib melakukan taubat nasuha iaitu menyesal, berhenti dan berazam tidak mengulangi perbuatan tersebut. Taubat hendaklah disertai dengan amal soleh, istighfar berterusan dan usaha mendekatkan diri kepada ilmu serta bimbingan guru yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Sukki berkata, eHati menunjukkan bagaimana ajaran sesat disebarkan atas nama spiritual dan motivasi, memperdaya masyarakat terutamanya golongan muda yang mencari ketenangan diri.
Masyarakat perlu berwaspada terhadap program bercirikan kerohanian dikendalikan individu tidak bertauliah dan tidak selari dengan al-Quran, sunnah serta fatwa semasa.
“Antara tanda program mencurigakan termasuk mempromosi individu sebagai ‘penyembuh mutlak’, percampuran bebas dan mendorong peserta melakukan melanggar batas agama,” katanya. – UTUSAN










