Demokrat desak rawatan 11,000 pesakit kanser Gaza

Demokrat desak rawatan 11,000 pesakit kanser Gaza

18,500 rakyat Palestin kini memerlukan rawatan perubatan segera, termasuk 11,000 pesakit kanser.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Lebih 60 anggota Demokrat di Dewan Perwakilan dan Senat Amerika Syarikat (AS) menggesa pentadbiran Presiden Donald Trump mengambil tindakan segera bagi menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing melibatkan pesakit kanser di Gaza.

Gesaan itu dibuat menerusi surat yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dan diketuai Ahli Kongres, James McGovern serta Senator Ed Markey dan Chris Van Hollen.

Wakil rakyat berkenaan menuntut usaha segera untuk mengembalikan semula laluan pemindahan perubatan yang sebelum ini membolehkan pesakit dari Gaza mendapatkan rawatan khusus di hospital di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat.

Menurut surat tersebut, ribuan pesakit masih tidak dapat menerima rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa berikutan sekatan masih berkuat kuasa sejak Oktober 2023.

Surat itu turut memberi amaran lebih 18,500 rakyat Palestin kini memerlukan rawatan perubatan segera yang tidak tersedia di Gaza, termasuk kira-kira 11,000 pesakit kanser.

Katanya, kemusnahan sistem kesihatan Gaza menyebabkan ramai pesakit tidak mempunyai akses kepada rawatan seperti kemoterapi, radioterapi, pembedahan dan penjagaan khusus lain.

Surat itu menggesa Washington supaya menyelaras dengan Qatar, Mesir dan Turkiye bagi memudahkan pemindahan perubatan, khususnya untuk kanak-kanak yang menghidap kansert serta penyakit lain mengancam nyawa.

Wakil rakyat tersebut juga menuntut jaminan pesakit yang dipindahkan untuk dibenarkan kembali ke Gaza selepas selesai menjalani rawatan mereka.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebahagian besar hospital di Gaza rosak atau musnah akibat kempen ketenteraan Israel, sekali gus mengehadkan akses rawatan bagi pesakit kronik dan kritikal.

Surat tersebut juga menyeru Israel supaya memudahkan penubuhan semula koridor perubatan kekal antara Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, serta menghentikan halangan terhadap usaha pembinaan semula.

Mereka turut menegaskan keperluan untuk memastikan hospital, petugas kesihatan dan infrastruktur penjagaan kesihatan dilindungi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN