Rehatkan Azam Baki, tubuh badan siasatan, bubar LPPR

Rehatkan Azam Baki, tubuh badan siasatan, bubar LPPR – Pemuda Pejuang

ABU HAFIZ SALLEH HUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sayap Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa satu penubuhan badan bebas untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berikutan dakwaan pemilikan saham di beberapa buah syarikat atas nama beliau.

Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, pihaknya turut mendesak supaya Azam direhatkan dari menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga siasatan yang dilakukan oleh sebuah Badan Bebas Siasatan yang bakal ditubuhkan itu selesai.

Selain itu katanya, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang dipengerusikan Tan Sri Abu Zahar Ujang mesti dibubarkan serta merta kerana dilihat gagal bertindak secara profesional, kurang kecekapan dan dilihat sangat memihak kepada pihak tertentu.

“Pejuang Muda mengingatkan LPPR untuk bertindak profesional dan tidak merendahkan nilai intelektual masyarakat Malaysia dengan kualiti penjelasan yang diberikan Azam.

“Kegagalan pentadbiran SPRM untuk bertindak dengan moral yang tinggi telah dan akan membuatkan badan pencegahan rasuah ini kehilangan integriti, kepercayaan dan hancurnya kredibiliti mereka dalam memerangi rasuah.

“Alasan dan skrip yang hampir serupa diberikan dan digunakan sewaktu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletus amat mendukacitakan.

“Paling menyedihkan adalah apabila Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal bisu dan mengunci mulut berkenaan skandal yang menggemparkan ini. Apakah maksud dari kebisuan beliau dalam hal ini?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, kencang bertiup khabar angin mengenai Azam yang didakwa menyeleweng duit kerana terdapat pemilikan saham di beberapa buah syarikat di bawah nama beliau.

Kelmarin, Azam pada sidang akhbar khas tampil menjelaskan bahawa saham bernilai jutaan ringgit atas namanya didakwa dibeli adiknya, Nasir Baki tetapi menggunakan akaunnya.

Justeru, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu memaklumkan, perkara tersebut tidak harus menjadi isu kerana menurutnya sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka kerana ia bukan kesalahan untuk berbuat demikian.

Media sebelum ini juga melaporkan, LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung skandal yang didedahkan meskipun penjelasan itu sekadar menyalahkan adik beliau semata-mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN