GSF 2.0: Apa nasib peserta, 29 rakyat Malaysia?

GSF 2.0: Apa nasib peserta, 29 rakyat Malaysia?

SANI Araby Abdul Alim Araby menunjukkan lokasi terakhir kapal misi kemanusiaan GSF yang dipintas oleh tentera laut rejim zionis Israel pada sidang akhbar di Sepang, Selangor semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Nasib 428 peserta misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dari 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang dipintas tentera rejim Zionis malam kelmarin masih belum diketahui.

Ketua Pengarah Pusat Ka­walan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal terakhir yang ditahan ialah Zefiro dan Alcyone yang dilapor berada ‘paling depan’ dan berada pada kedudukan 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Katanya, semua kapal dalam misi bantuan kemanusiaan te­lah berdepan tindakan agresif termasuk dipintas secara ha­ram, dikepung dan sebahagiannya diserang ketika cuba meneruskan perjalanan ke Gaza.

“Laporan awal serta bukti visual menunjukkan kapal Sirius diserang menggunakan meriam air bertekanan tinggi selain dirempuh secara agresif oleh sebuah kapal tentera laut Israel yang dikenal pasti de­ngan identiti A833D.

“Turut dirakamkan tembakan ke arah kapal Girolama dan Elengi dalam insiden ber­kenaan.

“Kesemua aktivis terdiri da­ripada doktor, pengamal media, kapten, kru kapal serta pembela hak asasi manusia dipercayai ditahan dari kapal masing-masing di bawah ancaman senjata sebelum dipindahkan secara paksa ke kapal perang rejim,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sani Araby berkata, semua aktivis terbabit dipercayai telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod.

Katanya, berdasarkan pe­ngesahan bilik ge­rakan SNCC, empat lagi rakyat Malaysia telah disahkan antara yang ditahan.

“Mereka ialah Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai yang berada di kapal Alcyone, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (Don Juan) serta Noor Thanisah Mohammad Tajudin (Zefiro),” katanya.

Sementara itu, seramai 87 aktivis di atas kapal-kapal GSF yang ditahan, dilaporkan melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan mereka serta tanda solidariti dengan tahanan Palestin di penjara Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menerusi hantaran di platform X, GSF memaklumkan bahawa buat kali kedua dalam tempoh tiga minggu, tentera Israel yang mendakwa sebagai ‘tentera paling bermoral’ telah menculik rakan-rakan mereka di perairan antarabangsa.

Menurut GSF, sebagai bantahan terhadap penculikan yang menyalahi undang-undang dan tanda solidariti dengan lebih 9,500 tahanan Palestin yang ditahan di penjara Israel, sekurang-kurangnya 87 peserta GSF berikrar untuk melancarkan mogok lapar sehingga mereka dibebaskan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN